Sunday, September 21, 2014

PEMIKIR ISLAM KINI TIDAK MENUMPUKAN TERHADAP EPISTEMOLOGI ISLAM

Buku Asas Epistemologi Islam  Dalam Al-Quran

Tidak sedikit daripada kalangan pemikir Islam pada abad ini kurang mengambil perhatian terhadap persoalan dan perbincangan epistemologi. Perkara ini sangatlah berlawanan pada zaman klasik dan pertengahan Islam dahulu yang banyak menghasilkan karya yang berunsurkan persoalan epistemologi. Oleh kerana itu, mereka-mereka ini jelas di dalam mengklasifikasikan ilmu dan prasangka manusia itu sendiri. Malah, berjaya memanifestasikan apa yang terbit di dalam persoalan ini selaras dengan saranan Al-Quran dan Sunnah...

Wednesday, September 3, 2014

ISLAMISATION OF KNOWLEDGE

Artikel Islamisation of Knowledge oleh Hasanul Arifin

Meneliti hasil karya Hasanul Arifin dalam tajuk artikelnya iaitu "Islamisation of Knowledge" yang memberikan beberapa input yang menarik untuk dikongsi. Islamisation of Knowledge atau Pengislaman Ilmu ini jarang sekali ditekankan pada hari ini tidak seperti mana yang berlaku pada zaman kegemilangan ilmuan Islam dahulu. Arus keilmuan kini yang leboh bercirikan sekular Barat telah membuatkan masyarakat Islam kini mengalami kemunduran dari segi intelektual dan pembangunan ummah itu sendiri. Oleh itu, penekanan pengislaman ilmu ini perlu ditekankan sekali lagi pada zaman kini supaya ia dapat diselarikan dengan yang disampaikan oleh Islam...

Berdasarkan artikel ini, penulis menekankan konsep Islamisasi menurut pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Tunjang bagi konsep ini berdasarkan pandangan semesta Islam (worldview) yang membincangkan mengenai konsep kehidupan di dunia ini berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Hal ini demikian kerana, "worldview" dapat menentukan persoalan kehidupan yang menekankan dari mana, mengapa dan ke mana kehidupan manusia tersebut dan berkemampuan untuk memberikan jawapan makna dan tujuan hidup seseorang itu.

Menurut Al-Attas, cabaran "worldview" berdasarkan sekularisme pada zaman kini perlu dititikberatkan oleh umat Islam dengan mengkaji semula asas-asas dan pendirian ilmu itu sendiri. Kajian terhadap epistemologi ataupun teori ilmu dalam kalangan umat Islam dari segi konsep ilmu, definisi ilmu, hierarki ilmu dan sumber ilmu itu sendiri perlu dikaji semula. Keupayaan untuk membezakan ilmu dan prasangka masih tidak dapat berkembang dalam umat Islam oleh kerana kajian epistemologi tidak giat dilaksanakan sepertimana yang berlaku pada zaman pertengahan Islam dahulu. Umat Islam kini masih lagi tidak mampu membahagikan yang mana ilmu dan yang mana bukan. Hal ini menyebabkan kekeliruan dalam keilmuan itu sendiri. Jika pada zaman pertengahan Islam dahulu, kegiatan epistemologi gigih dijalankan oleh kerana hendak menapis falsafah Yunani seperti Imam Al-Ghazali laksanakan. Maka pada dunia moden sekarang ini. kegiatan epistemologi perlu dihidupkan semula bertujuan menapis ilmu-ilmu yang bukan datang daripada Islam dan "isme-isme" yang muncul pada zaman kini.

Al-Attas mengenalpasti masalah dalam menghuraikan keilmuan menurut pandangan modernis yang akhirnya menyebabkan menjadi masalah utama pada masa kini. Perkara ini boleh membawa kepada "kehilangan adab" yang akhirnya melahirkan pemimpin yang tidak sepatutnya. "Adab" yang dimaksudkan oleh Al-Attas ialah berkait kepada konsep "worldview" kerana ia mampu menyelaraskan maklumat dan ilmu kepada pemikiran manusia. "Adab" pada definisi Al-Attas ialah :

"The recognition and acknowledgement of the right and proper places things, the acquisition of good qualities and attributes as well as actions to discipline the mind and the soul, and the performance of correct and proper action as opposed to erroneous and improper ones"

Ilmu itu perlulah diberikan layanan yang adil dengan meletakkan ilmu pada tempatnya yang betul. Sepertimana kata Al-Attas iaitu :

 "The Eagle Does Not Fly at the Level of The Sparrow"

Wahyu Tuhan tidak sama dengan kata-kata manusia dan kata-kata orang bijaksana berbeza dengan kata-kata orang yang jahil. Oleh itu, meletakkan ilmu dan prinsip itu pada tempatnya dipanggil sebagai "adab" dan jika kita tidak meletakkan ilmu itu pada tempatnya, kita telah menzalimi ilmu itu.

Al-Attas mempertikaikan bahawa meletakkan cendekiawan klasik sebaris dengan cendekiawan moden adalah tidak patut. Hal ini kerana, Al-Attas mempercayai bahawa cendekiawan klasik lebih dekat dengan kebenaran. maka tafsirnya lebih dipercayai berbanding dengan tafsir zaman moden ini...

Antara ciri konsep Islamisasi oleh Al-Attas ialah analisis secara berhati-hati dan penggunaan bahasa. Bahasa berfungsi sebagai menterjemahkan "worldview" seseorang itu. Al-Attas mengatakan bahawa definisi sesuatu "term" itu perlulah berhati-hati dan menggunakan terminologi Al-Quran sepertimana yang dipakai oleh cendekiawan terdahulu. Sains yang difahami dalam "worldview" Islam juga berbeza dengan sekular Barat kerana sains pada pandangan Islam ialah menzahirkan hakikat atau kebenaran yang digambarkan di dalam Aqidah dan Tasawwuf.

Penulis juga mengatakan bahawa tiada dualisme yang berlaku di antara Sains dan Agama di dalam Islam sepertimana yang berlaku pada Sekular Barat. Al-Attas mengatakan bahawa berlakunya kesatuan di antara agama dan sains melalui kerangka Tauhid. Sains bukan laluan alternatif untuk mencari kebenaran tetapi bersatu dengan kebenaran agama... Banyak lagi definisi terma yang berbeza di antara "worldview" Islam dan Sekular Barat seperti demokrasi dan konsep Syura...

Penulis juga menghuraikan persoalan adakah Islamisasi ini bersifat anti-Barat. penulis menyatakan bahawa segala ilmu yang datang dari luar Islam perlu dipelajari dengan teliti oleh umat Islam dan kemudiannya ilmu ini perlulah ditapis oleh Al-Quran dan Sunnah supaya selari dengan Islam. Namun demikian, umat Islam tidak boleh berhenti dengan sekadar menginterpretasi pengetahuan bukan Islam berdasarkan Islam tetapi berkemampuan untuk melahirkan teori dan penyelesaian yang baru yang menyokong "worldview" Islam itu sendiri.  Perlu difahami juga, tujuan utama ilmu di dalam Islam dengan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah...