Thursday, April 14, 2016

THE ISLAND OF RESEARCH


Ibaratnya seperti 'Robinson Crusoe' yang dicampakkan ke sebuah pulau terpencil. Satu-satunya bekalan berada pada genggamannya hanyalah sebuah peta pulau tersebut. Peta tersebut mempamerkan segala laluan yang akan ditempuhinya sehinggalah berjaya keluar daripada pulau tersebut.
Aku berasa gembira + takut apabila meneliti gambar unik ini. Peta ini diibaratkan seperti permainan 'treasure hunt' dalam dunia 'research' yang dihadapi oleh sebahagian golongan intelligensia di universiti tidak kira mana negara. Berpandukan peta ini, pengkaji akan menghadapi segala liku dan cabaran dalam dunia pengkajian yang diceburinya. Mahu atau tidak, si pengkaji terpaksa berkelana dan mengembaranya dengan penuh keperitan dan kesengsaraan. Sebab itulah, kebanyakan pelajar yang mengambil 'research' dan menyiapkan tesis mempunyai kesabaran yang tinggi dari segi fizikal dan mental.
Panduan bergambar ini memerihalkan situasi dan fasa dalam dunia 'research' daripada awalnya hinggalah ke akhirnya. Situasi dan isu yang berlaku dalam 'research' disimbolkan dengan struktur geografi mewakili fasa kesukaran dan kemudahan atas tujuan menghasilkan suatu kajian yang berkualiti dan bermutu tinggi.

One Rule: Do Not Block the Path of Inquiry

Wednesday, April 13, 2016

PERIUK ITU MENGGELEGAK


Periuk menggelegak kepanasan,
Apinya berjulang-julangan,
Airnya membuih-buih berlimpahan,
Dikeluarkan tawaran, untuk siapa periuk itu disentuhkan?
Tiada yang berani ke hadapan,
Kerana sedar akibat penalaran,
Melainkan yang 'buta' penglihatan.

Tanpa bekalan, dimulakan sentuhan,
Disentuh mula melatah.
Melecur panas, sambil bermadah,
Bertengkar silap dan salah,
Masing-masing mula bertelagah.

Disalahkan periuk, periuk hanya sebuah takungan,
Disalahkan airnya, airnya hendak mematikan kuman,
Disalahkan api, periuk itu hanyalah tujuan,
Disalah penawar, mereka hanya pemberi ruangan,
Disalah penyentuh, mereka sendiri membuat keputusan.

Disebabkan ia 'buta',
bekalan tiada ataupun lupa,
jahil atau lalai timbul di muka,
hakikat ilmu tiada pada jiwa dan raga.
maka rugi dirinya,
rosak aibnya.

Setiap perkara ada tempatnya,
Setiap tujuan ada jalannya,
Setiap hasil ada kaedahnya,
Setiap bahan ada alatnya.

Sekiranya sistem ini terlanggar,
rosak segala susun atur hasil pakar,
keliru umat, tiada sinar.
memetik api 'kebenaran' supaya berpancar.
tapi diri sendiri yang terbakar.

Wednesday, March 23, 2016

SI PERHATI



Dari sudut gelap si dia memerhati.
Tersemat impian menguasai hati,
Namun hati takut berbelah bahagi,
Mengharap mereka hadir di sisi
Airmata berlinangan bagai tiada erti,
Tetap menunggu, tetap menanti,
Ayuh datanglah ke mari,
Hadirlah pada diri ini,
Bawalah dia dari sengsara ini,
Ajarkanlah segala peri,
Agar dia tidak rugi.

Tuesday, March 22, 2016

IF YOU WANT...



If you want to become whole,
Let yourself be partial.
If you want to become straight,
Let yourself be crooked.
If you want to become full.
Let yourself be empty.
If you want to be reborn,
Let yourself die.
If you want to be given everything,
Given everything up.


Bab 22, Tao Te Ching, Lao Tzu.

DWI-HARI BERSAMA PESTA BUKU UUM



Pesta Buku UUM merupakan suatu ekspo yang aku nanti-nantikan sejak semester lepas lagi, bahkan ia salah satu asbab aku berpraktikum di UUM. Walaupun baucer buku tiba bagaikan telur di hujung tanduk, dapat juga merasakan baucer buku tersebut untuk kegunaan buku-buku ini di samping alat elektronik yang bersifat sementara dan mudah rosak (pada tanganku).

Seperti pesta buku sesebelum ini, aku menjangkakan dua gerai buku yang bagiku menyumbangkan keluasan pengetahuan dan penambahan rujukan pembelajaran selain daripada buku-buku keluaran universiti. Dua gerai ini adalah gerai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Kelihatan gerai DBP masih sama saiznya seperti tahun sesebelum ini malah lokasinya tetap sama. Menariknya berbanding sesebelum ini dari segi perkhidmatan memuaskan hati diriku oleh kerana membukakan ruang tempahan buku yang tersimpan dalam stok mereka di Alor Setar. Mereka juga dalam masa sama menghebahkan jualan promosi buku mereka di Mergong, Alor Setar dengan potongan harga 10% - 70% mengikut tarikh terbitan buku-buku di sana. Lebih lama lebih murah harganya.

Berbeza pula dengan gerai ITBM, sepanjang dua tahun aku melihat perubahan dari segi saiz gerai dan lokasinya. Tahun ini menampakkan ITBM melakukan perubahan positif jika dibandingkan sebelum ini. Pada dua tahun yang lepas, ITBM membuka gerai, seperti gerai DBP tahun ini, menjual buku yang bagiku ke arah seperti pengeluaran DBP. Ketika itu aku masih baru mengenali ITBM tersebut. Masuk pula pada tahun lepas, aku mencari lagi gerai ITBM ini, akan tetapi hanya rak kecil sahaja yang memuatkan karya bahasa, dan sedikit buku akademik keluaran yang lama (ITNM). Walaupun harapan aku terhadap ITBM mula pudar, aku masih menyimpan harapan pada Pesta Buku UUM seterusnya (kini). Ternyata harapan itu menyinari diriku, apabila ITBM bukan sahaja membuka gerai malah membawa kedai buku bergerak bersama dan membuka di bahagian bawah perpustakaan. Mereka pula mesra denganku walaupun terpaksa melayan segala kerenah aku terhadap buku terbitan mereka.

Selama dua hari di pesta buku ini, aku sambil menggenggam baucer buku terpaksa melakukan catuan sehari sekeping baucer. Bukan apa kerana tujuannya adalah untuk mengehadkan pembelian buku dan menunggu buku baru yang akan tiba. Dalam dua hari ini juga, aku telah membeli 4 buah buku dengan menambah sedikit duit aku.

Buku yang pertama bertajuk 'Refleksi Historiografi: Alam Melayu' ditulis oleh Prof. Tatiana A. Denisova. Aku mula mengenalinya daripada sahabatku, abg Tuan Hanapi, yang mencadangkan aku supaya mencari buku beliau dalam mengenali sejarah Melayu dengan mendalam ketika 'Wacana Malayonesia: Kerdipan Melayu di Langit Melayu' yang diadakan di UKM pada bulan lepas. Daripada sahabat aku, aku mengetahui beliau ini merupakan anak murid kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas. Aku sambil membelek buku ini tampak menarik perhatianku kerana perbincangannya menumpukan kepada khazanah persuratan Melayu. Tujuannya bagi mempersembahkan khazanah ini sebagai sumber utama dalam pensejarahan Melayu berbanding penggunaan sumber sekunder yang mempunyai kebarangkalian dalam kesilapan interpretasi.

Buku yang kedua bertajuk 'Islam Dan Pluralisme Agama: Memperkukuh Tauhid Pada Zaman Kekeliruan' ditulis oleh Dr. Khalif Muanmar. Rakan-rakanku daripada Kru Jejak Tarbiah, kak Nadia Rashid dan Farid Akram, berbicara mengenai buku tersebut ketika berbual dengan mereka. Daripada perbualan itu menimbulkan minat aku oleh kerana kami bertiga sering berbicara mengenai pemikiran al-Attas. Secara tidak langsung, aku mula mencari-cari buku ini dan akhirnya terjumpa di Pesta Buku UUM. Walaupun aku ada beberapa pandangan berlainan daripada Dr. Khalif akan tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk membacanya. Ini adalah persoalan adab dalam memahami sesuatu perkara.

Buku ketiga bertajuk 'Mantik Dan Etnomantik' ditulis oleh Dr. Mat Rofa Ismail. Aku mengikuti wacana beliau dalam Youtube baru-baru ini, di bawah anjuran Lepak Maqasid, bertajuk 'Pengaruh Falsafah Yunani dalam Falsafah Islam'. Aku mempelajari perkara baru daripada beliau terutamanya dalam peranan geometri dan matematik. Sesebelum ini, aku mengikuti Seminar Falsafah Ketiga, tertarik dengan falsafah matematik yang diperkenalkan oleh Dr. Alinor, sudah mula tertarik dengan matematik. Tambahan pula, Dr. Mat Rofa dan Dr. Alinor merupakan pakar matematik dan mengetahui setiap istilah, konsep, dan maksud dalam bidang matematik. Daripada pembentangan Dr. Mat Rofa dalam siri Lepak Maqasid itu membuatkan aku mencari buku beliau yang bersifat akademik di samping kedua buku beliau dalam sejarah Melayu iaitu 'Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki' dan buku terbaru (2016) 'Malayonesia: Kerdipan Bintang Melayu di Langit Melayu'. Dan akhirnya terjumpa buku ini di bawah terbitan DBP.

Buku terakhir sekali adalah buku 'Perkembangan Semasa Teori Semantik' ditulis oleh Maxim Stamenov. Aku mula tertarik dengan semantik dan hermeneutik ini sejak aku membaca buku Falsafah Sejarah Ibn Khaldun karya Muhsin Mahdi. Semantik atau kajian tentang makna memberi kesan mendalam kepadaku lebih-lebih lagi dalam penggunaan bahasa yang tepat bagi sesuatu makna yang berlegar dalam ruang idea (hermeneutik). Hermeneutik atau seni menginterpretasi juga penting dalam menyampaikan makna bagi tujuan pihak lain memahami makna yang kita bawakan. Disebabkan terkesan daripada pembentangan Fauzi Naiem bertajuk 'Falsafah Hermeneutik', maka aku pun cuba mencari beberapa rujukan bagi memahami kedua perkataan ini iaitu semantik dan hermeneutik. Buku ini salah satu penambahnilai bagiku dalam penggunaan bahasa dalam mengungkapkan makna.


Dengan berbaki lagi 3 keping baucer buku, aku masih boleh memantau buku-buku yang menarik perhatianku. Mana tahu aku akan berjumpa buku yang lebih menarik lagi sepanjang pesta buku ini.