Sunday, July 5, 2015

PENGULASAN HAK ASASI MANUSIA BESERTA CABARAN PELAKSANAANNYA DI ALAM MELAYU



Alhamdulillah selesai sudah wacana akademik yang dibentangkan oleh Dr. Mohd Faizal Musa ataupun dikenali sebagai “Faisal Tehrani” yang merupakan nama penanya dan terkenal dalam dunia penulisan kreatif dan seorang novelis. Beliau membentangkan sebuah isu yang hangat diperbincangkan kini di Malaysia yang bertajuk “Hak Asasi Manusia – Cabaran Pelaksanaan Di Alam Melayu” yang berlangsung di Bilik Majlis, Canselori UKM pada 2 Julai 2015.

Perbincangan mengenai hak asasi manusia di Alam Melayu ini khususnya di Malaysia masih lagi hijau dan baru pada pandangan masyarakat walaupun isu hak asasi manusia telah timbul secara tidak langsung pada zaman sebelum kemerdekaan lagi. Isu hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia masih lagi disalahertikan dan kurang difahami oleh masyarakat Malaysia.

Sebelum pembentang membentangkan tajuk ini, pembentang memperkenalkan buku karya beliau yang bertajuk “Bagaimana Anyss Naik Ke Langit” yang mengisahkan kaum Penan yang menetap di kawasan pedalamanan Sarawak dihalau bagi tujuan pembalakan dan wanita Penan diperkosa di hutan. Begitu juga, Faisal Tehrani bersama kerjasama Amin Landak akan melancarkan sebuah buku yang bertajuk “Advancer Fufu Dan Yaya” yang akandilancarkan Pesta Buku Frankfurt pada Oktober akan datang. Buku ini kelihatannya lebih kepada komik kanak-kanak yang menceritakan mengenai hak asasi manusia.

Salah satu pertanyaan yang sering ditimbulkan dalam pelaksanaan hak asasi manusia adalah apakah itu hak asasi manusia, apakah hak asasi manusia bagi melayu itu sendiri, dan apakah  teks tradisional Melayu yang membicarakan hak asasi manusia.

Kontroversi hak asasi manusia di Malaysia kelihatannya sangat sengit oleh kerana terdapat segelintir pihak yang menyatakan dan memomokkan bahawa hak asasi manusia ini adalah produk daripada Barat yang bukan lahir daripada Melayu dan Islam yang dikatakan boleh menjejaskan akidah dan umat Islam. Perkara ini dinyatakan Tun Mahathir pada tahun 1997 dimana beliau mempertikaikakan hak UDHR (United Nation  Declaration of Human Right 1948) sebagai “Un-Asian”. Pada tahun 2013, wacana “Un-Asian” telah beralih kepada tidak cukup “Islam” sehingga isu dimomokkan dibawakan kepada mimbar khutbah Jumaat. Maka timbullah kesan terhadap rakyat dimana apabila dibincangkan mengenai hak asasi manusia maka yang timbul dari kepala rakyat adalah isu LGBT.

Walaupun begitu, tidak ramai yang mengetahui pada ketika UDHR 1948 itu diwujudkan, negara Arab Saudi dan Afrika Selatan sudahpun wujud dan mereka telah mengundi untuk menerima penggubalan UDHR 1948. Begitu juga terdapat suara-suara daripada Timur menyatakan persetujuan mengenai penggubalan UDHR 1948 seperti China dan Pakistan. Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan Hak Asasi Manusia Moden yang berkait dengan UDHR 1948 sebenarnya?

Rene Cassin, salah seorang penggubal UDHR 1948, telah mengenalpasti empat tunjang dalam hak asasi manusia iaitu yang pertama adalah:

1) Kehormatan
2) Kemerdekaan
3) Kesetaraan
4) Persaudaraan

UDHR 1948 ini diterima oleh semua anggota PBB pada tahun 1948 dan seterusnya.

UDHR 1948 ini terdiri daripada 4 rukun yang dipecahkan kepada 27 artikel di mana bumbungnya adalah artikel 28 hingga 30 iaitu “rights of individual, rights with the society and the state”.

Rukun yang pertama yang meliputi artikel 1 dan 2 menyatakan “human dignity shared by all individual without sex, ethnicity and religion.” Di sini bermaksud bahawa manusia mempunyai kesetaraan. Kesetaraan ini sering salahertikan dengan kesamaan dimana sebenarnya pihak hak asasi manusia ingin mengiktiraf perbezaan yang terdapat di dalam manusia iaitu perbezaan jantina, etnik dan agama. Ia bukanlah bermaksud pihak hak asasi manusia meletakkan wanita dan lelaki pada kedudukan yang sama sebagai contohnya.

Rukun yang kedua yang meliputi artikel 3 hingga 19 menyatakan “civil liberty”. Pihak hak asasi manusia menamakan rukun kedua in sebagai “first generation human rights”.

Rukun yang ketiga iaitu artikel 20 hingga 26 menekankan aspek kesetaraan politik, ekonomi dan sosial yang dijuarai ketika zaman revolusi industri. Rukun ketiga ini dinamakan sebagai “second generation of human rights”.

Rukun keempat iaitu artikel 27 dan 28 dijelmakan apabila melihat penjajahan dan penaklukan colonial di negara Timur dan Selatan. Rukun ini digelarkan sebagai “third generation human rights”

Terdapat cara yang lain melihat hak asasi manusia ini iaitu dalam bentuk:

1) Negative Human Rights
2) Positif Human Rights
3) Collective Human Rights

Negative Human Rights berteraskan Anglo-American Legal Tradition yang pernah tumbuh sekejap di Amerika dimana konsepnya adalah negara tidak boleh mencampuri urusan warganya. Hal itu memberikannya kebebasan agama dan kebebasan orientasi seksual kepada warganegaranya.

Positive Human Rights berteraskan Rousseauian Continental European Legal Tradition dimana konsepnya negara memberi dan membekalkan seperti pendidikan percuma dan kebebasan bersuara. Pembentang menunjukkan contoh dimana negara di Eropah khususnya di Scandinavia memberikan rumah kediaman secara percuma.

Collective Human Rights pula kurang dibangunkan seperti contoh penyatuan dalam penentangan “terrorism”, wabak HIV/AIDS, isu pemanasan global dan keganasan. Maka disini dapat dimaksudkan bahawa collective human rights ini bersifat global dan boleh mengakibatkan penglibatan sesuatu perkara daripada pelbagai negara untuk mengatasinya.

Seterusnya, pembentangan membentangkan “timeline” sejarah yang mendorong kepada membentukkan UDHR 1948 dan asas di dalam pembentukan UDHR 1948:

1) Religious concept
2) Philosophical Exploration
3) Magna Carta 1215
4) Natural Law, Thomas Hobbes dan John Locke
5) French Revolution 1789/ US Declaration of Independence – US Constitution
6) Industrialization & Opposition to exploitation of labour by the socialist/communist
7) World War 1 dan 2
8) United Nation 1945
9) UDHR 1948

Terdapat juga permasalahan yang timbul mengenai hak asasi manusia ini dimana segelintir pihak mengatakan bahawa ia adalah produk daripada Barat, maka perlunya membina hak asasi manusia yang berasaskan daripada Timur sendiri. Hal ini berlaku di Cairo Declaration iaitu umat Islam daripada anggota OIC berkumpul di Kaherah dan merancang menubuhkan sebuah piagam hak asasi manusia mereka sendiri. Begitu juga pada tahun 2013, dimana ASEAN juga mempunyai piagam hak asasi manusianya sendiri. Cairo Declaration dan ASEAN Declaration itu sekiranya dinyatakan timelinenya hanyalah untuk bertujuan untuk menjawap UDHR 1948.

Perkara yang menyebabkan penentangan ini berlaku sepertimana yang berlaku pada 2000 tahun dahulu dimana Raja Darius, daripada Parsi berdepan dengan orang Greek dan India. Kejadian ini berlaku dimana Raja Darius telah memanggil orang-orang Greek dan bertanyakan upacara pengebumian mayat iaitu pengubahan pengebumian mayat daripada dibakar kepada makan mayat itu. Hal ini menimbulkan kemarahan orang Greek kerana pertanyaan pertukaran cara pengebumian mayat mereka yang berteraskan kepada membakar mayat. Begitu juga pertanyaan yang sama diajukan kepada orang India iaitu pengubahan pengebumian mayat mereka yang memakan mayatnya diubah kepada dibakar mayat itu. Orang India menolaknya kerana ia dianggap sebagai suatu penghinaan kepada ajaran mereka. Maka dengan itu, logik bagi Herodotus adalah “each nation regards its own customs superior.”

Hal ini menyebabkan menimbulkan kecelaruan dan masalah dimana masing menggunakan adat mereka sendiri dan pertembungan antara dua adat dan budaya yang berlaku. Maka sekiranya berlakunya pelbagai hak asasi manusia yang dibuat oleh pelbagai pihak maka ia akan menyebabkan penyelesaian masalah tidak sampai dipenghujungnya. Oleh kerana itu, UDHR 1948 ini dibentuk bagi mewujudkan satu set yang standard universal bagi menentukan hak asasi manusia bagi semua negara.
Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan di dalam UDHR 1948 ini antaranya seperti:

1) Religious concept/Ancient traditions trying rationalize unequal entitlement for the weak or the inferior.
2) Enlightment failed to fulfill its own universal  Human Rights promises for example slavery, colonisation, women rights and children rights
3) Socialist-communists contribution to Human Rights shadowed by atrocities commited by communist regime in the name of Human Rights.
4) Ignorance of the Western roots of third generations of Human Rights

Setelah pembentang telah membentangkan serba sedikit asas-asas di dalam UDHR 1948 dan hak asasi manusia. Pembentang memasuki lebih dalam lagi iaitu cabaran pelaksanaannya di Alam Melayu ini. Pembentang sendiri mengakui bahawa agak sukar untuk menggali secara mendalam dan rumit dalam penyelongkaran teks-teks tradisional Melayu yang dalam membicarakan hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, terdapat juga unsur-unsur hak asasi manusia yang boleh dilihat di dalam teks tradisional Melayu.

Sepertimana diketahui bahawa Melayu ini mempunyai hubungan yang sinonim dengan Islam sehingga menjadi sebati di dalam diri orang Melayu itu. Sepertimana diketahui umum bahawa Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan keadilan sosial, menunjukkan akhlak yang sempurna dan mengajak kepada kemanusiaan. Keempat-empat tunjang yang diusulkan oleh Rene Cassin dalam menentukan hak asasi manusia 1948 seperti yang disebutkan sebelum ini juga terdapat di dalam Islam. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang membicarakan hak asasi manusia, dan oleh kerana kekurangan ruang, pembentang menunjukkan salah satu ayat di dalam Al-Quran iaitu Surah An-Nisa ayat 135:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Terdapat juga hadith Rasulullah S.A.W. yang menekankan mengenai keadilan iaitu di dalam Hadith 40 karya Imam Nawawi iaitu di dalam Hadith ke-13:

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
( Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

Pembentang juga memetik kata daripada petikan surat Saidina Ali kepada Malik Asytar iaitu:

“Manusia itu sesungguhnya hanya satu di antara dua saudara melalui agama atau makhluk Tuhan sepertinya.”

Kemudian, Saidina Ali menyeru kepada Malik Asytar untuk memperlakukan manusia sebaik-baiknya.

Pembentang juga memaklumkan bahawa pengkajian pembentang banyak menggunakan kerangka aplikasi Syed Husien al-Attas. Pembentang menyatakan bahawa Syed Husien al-Attas ada juga membicarakan hak asasi manusia walaupun beliau tidak menceritakan secara langsung dan serius dalam menekankan hak asasi manusia. Syed Husien al-Attas telah menggunakan perkataan dan konsep lain yang melambangkan hak asasi manusia. Terdapat karya Syed Husien al-Attas membicarakan mengenai hak asasi manusia secara langsung atau tidak langsung antaranya yang terkenal adalah “Cita Sempurna,Cita Bencana”

Beliau mendefinisikan cita sempurna sebagai satu pandangan hidup yang menyeluruh untuk mencapai masyarakat yang sempurna. Cita sempurna ini perlu disusun berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan. Cita sempurna kelihatannya selari dengan ajaran agama yang dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam melaksanakan keadilan sosial.

Cita bencana adalah pertentangan daripada cita sempurna dan Syed Husien al-Attas telah memecahkan cita bencana kepada tiga bahagian iaitu jenayah, penyalahgunaan dadah, perjudian dan ketagihan alkohol, dan yang terakhir (tidak jelas suara pembentang ketika menceritakan yang ketiga ini dan ketidaksempatan mencatatnya).

Al-Attas menumpukan kepada istilah pemimpin “jadong” yang merupakan akronim kepada “jahat,bodoh dan sombong”. Pemimpin jadong merujuk kepada golongan penguasa yang menceroboh ke atas cita sempurna. Di samping itu juga pembentang juga menggariskan selain pemimpin jadong, terdapat perkara lain iaitu emosi, tidak menolak ke arah cita bencana.

Selepas pembentang selesai membentang mengenai kerangka al-Attas, pembentang memaklumkan apakah perkara yang menyebabkan cabaran hak asasi di Malaysia ini menjadi sukar dilakukan. Pembentang memetik kisah Munshi Abdullah daripada Kisah Pelayaran Abdullah mengenai kisah beliau ke Pahang dan mendokumentasikan bahawa keganasan raja Melayu yang dilakukan pada ketika itu, perang saudara yang tidak membawa apa-apa makna, pelacuran dan perhambaan. Dan juga terdapat sebuah kisah menceritakan seorang rakyat Kelantan telah datang kepada beliau dan menceritakan keadaannya yang daif dan tiada mempunyai hak pemilikan harta dan hak berkeluarga. Sehinggakan rakyat tersebut merayu untuk membawakan mereka ke Singapura oleh kerana disini penjagaan hak mereka lebih terjamin.

Di samping itu juga, nasib murbawan tidak dibela oleh pihak pemerintah. Apa yang dilihat disini adalah gejala daripada feudalisme. Gejala kejadongan juga berlaku dalam kalangan ulama di mana golongan ulama mempunyai kuasa menginterpretasikan agama supaya mengikut kehendak kerajaan dan mengukuhkan kuasa raja-raja. Pembentang juga ada mengataka apabila Islam mula bertapak di Melaka menurut teks tradisional, perkara pertama yang diajarkan selepas syahadah adalah bersolat. Mungkin pada penghematan saya, saya melihatnya sebagai pengajaran dalam perkara yang tidak melibatkan keadilan sosial sepertimana Islam ajarkan. Oleh kerana perkara melibatkan keadilan sosial tidak diterapkan secara serius menyebabkan kefahaman mengenai hak sosial itu disalahertikan. Sungguh mendukacitakan apabila digalikan teks tradisional kebanyakannya menceritakan sebaliknya mengenai hak asasi manusia

Namun begitu, terdapat juga sebuah pemberontakan ataupun boleh dilihat sebagai revolusi dalam menegakkan hak asasi manusia sepertimana dilihat di dalam hikayat Tuhfat al-Nafis dimana Sultan Mahmud dibunuh ataupun riwayat terkenal iaitu “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”.
 
Apabila pembentang menggali kamus-kamus bahasa oleh orientalis seperti William Marsden dan Wilkinson, pembentang mendapati bahawa terdapat perkataan-perkataan yang mempunyai konsep yang sama dengan hak asasi manusia. Seperti perkataan “tara” yang diterjemahkan oleh Marsden sebagai “Equal” dengan menggunakan contoh ayat iaitu “tiada taranya pada zaman itu” dan juga beliau memetik ayat daripada orang Melayu di Sumatera iaitu “samataranya kedudukannya”. Sekiranya dilihat ayat ini, ayat ini telah menunjukkan konsep “equality” atau kesetaraan yang muncul pada ketika itu. Begitu juga perkataan “tiada dengan haknya” yang diterjemahkan oleh Marsden sebagai “unjustly” atau “illegally”. Maksud yang sama dengan “tiada dengan haknya” seperti “aniaya” sudah muncul ketika dan menunjukkan masyarakat pada ketika itu sudah pun mengetahui mengenai pencabulan hak. Perkataan “adil” juga ditemui di dalam kamus Marsden dengan memberikan contoh ayat “adil bagi sekalian orang hitam”. Perkataan “merdeka” yang bererti bebas di dalam kamus Marsden memberikan contoh ayat iaitu “orang merdeka”.

Begitu juga di dalam kamus bahasa Wilkinson, terdapat juga banyak perkataan yang melibatkan hak asasi manusia. Antaranya contoh “gah” yang boleh diterjemahkan oleh beliau sebagai “dignity, greatness, and pride”. “Bebas” yang membawa maksud “freedom”. Perkataan kesetaraan pada pengamatan Wilkinson tidaklah digunakan secara langsung namun mempunyai satu perkataan yang mempunyai konsep yang sama dengan kesetaraan iaitu “ugahari” oleh orang Melayu pada ketika itu.

Selain daripada pembongkaran kisa atau riwayat daripada teks tradisional dan kamus bahasa, pembentang juga menunjukkan beberapa pepatah atau peribahasa Melayu yang mendedahkan konsep hak asasi manusia. Seperti contoh dalam pepatah orang Minang terdapat juga peribahasa yang menekankan isu gender dan pepatah orang Naning yang menekankan isu keadilan. Peribahasa Melayu seperti contoh yang dapat dilihat menunjukkan hak asasi manusia adalah seperti “Jangan jaga tepi kain orang” dan “kubur masing-masing punya” melambangkan hak peribadi manusia. Seperti “melentur buluh biarlah dari rebungnya” menunjukkan maksud hak asasi kepada kanak-kanak. Dan terdapat-terdapat peribahasa Melayu yang tidak sempat untuk ditulis.

Maka di sini dapatlah dilihat walaupun secara teks tradisional, kisah-kisah yang berkaitan di dalam karya-karya ini menunjukkan penafian mengenai hak asasi manusia yang disebabkan gejala sistem feudalisme dan lain-lain lagi. Namun, perkataan-perkataan yang melibatkan mengenai hak asasi manusia secara tidak langsung turut terdapat walaupun ia tidaklah menunjukkan perkataan itu secara terang sepertimana hak asasi manusia moden kini. Pembentang juga memaklumkan bahawa apabila menyatakan mengenai hak asasi manusia, ia bukanlah sekadar LGBT dan murtad semata-mata, perbincangan hak asasi manusia adalah sungguh luas. Maka seperti hasrat Syed Hussein al-Attas dalam melihat masyarakat ke arah cita sempurna, perlulah masyarakat itu perlulah menangani masalah sistem feudalisme dan kejadongan kepimpinan yang boleh mendorong ke arah cita bencana.