Thursday, March 19, 2015

WHINING


sekiranya kita dari dahulunya bersifat demikian...
maka perlulah berjalan selangkah ke hadapan...
daripada mengeluarkan perkataan yang hanya diisukan...
daripada bahasa yang dikesat-kesatkan...
hasilkan solusi sebagai sebuah tindakan...

Monday, March 16, 2015

ZENO OF ELEA SECARA SEPINTAS LALU


Zeno, merupakan di antara ahli-ahli falsafah Yunani yang wujud sebelum Socrates, Plato dan Aristotle yang menetap di Elea (kini Velia) yang terletak di Itali pada zaman kini... Di Velia inilah wujudnya sebuah aliran yang bernama Eleatik yang dianggotai oleh Parmenides, Melissus, Xenophanes dan juga Zeno of Elea itu sendiri... Beliau menulis sebuah buku yang bernama "Attacks" yang bertujuan untuk mempertahankan idea Parmenides mengenai Wujud sebagai Satu, tidak boleh dibahagikan dan bersifat kekal... Kaedah yang selalu diamalkan oleh beliau, Reductio Ad Absurdum, adalah dengan cara memetik hujah pihak lawan, kemudiannya mematahkan hujah tersebut dengan menunjukkan hujah tersebut menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang yang bercanggah...

Seperti contoh adalah, pandangan Zeno terhadap benda, benda adalah banyak, kemudiannya menunjukkan benda tersebut mestilah terhad dan tidak terhad... Sekiranya benda tersebut banyak, benda tersebut mestilah ada bilangan; tidak boleh lebih atau kurang. Sekiranya benda itu tidak lebih atau kurang, maka benda tersebut terhad... Selain daripada itu, sekiranya benda itu banyak, benda tersebut mestilah tidak terhad, kerana akan sentiasa terdapat benda lain di antaranya, dan benda lain di antara benda-benda itu tadi dan seterusnya tanpa ada kesudahan...

Jika terdapat banyak benda, benda ini sama ada tanpa saiz atau mempunyai saiz... Sekiranya benda itu tidak mempunyai saiz, maka apabila satu benda yang tidak ada saiz ditambahkan ke benda lain, tidak ada berlaku pertambahan saiz... Sekiranya sesuatu benda itu mempunyai saiz, maka sudah tentu sebahagian daripadanya mempunyai saiz dan bahagian yang mendahuluinya, serta bahagian yang mendahului bahagian yang terdahulu ini, hinggalah seterusnya tanpa ada kesudahan.

Apabila sesuatu benda bergerak, benda itu bukannya berada di tempat ia berada ketika itu dan juga bukannya berada tempat ia tidak berada ketika itu, tetapi mustahil baginya berada di mana-mana satu tempat tersebut...
Apabila sesuatu benda itu berada di suatu tempat, benda tersebut tidak bergerak...

Sekiranya kesemua benda berada di dalam ruang, bermakna ruang sama ada sesuatu atau tiada apa-apa... Jika ruang sesuatu, maka ruang dengan sendirinya di dalam sesuatu, dan sesuatu ini di dalam sesuatu yang lain, dan seterusnya tanpa ada kesudahan.

Zeno juga mengeluarkan hujah yang serupa bagi gerakan... Beliau mengutarakan 4 hujah dalam memberitahukan gerakan...

1) Kita tidak boleh melalui suatu jarak tertentu, kerana untuk melalui jarak tersebut, kita terpaksa sampai ke kedudukan separuh jalan terlebih dahulu, dan kemudian ke kedudukan separuh jalan jarak yang masih tinggal, dan seterusnya tanpa ada kesudahan. Lagi pula, gerakan adalah mustahil untuk melintasi kedudukan-kedudukan tidak terhad dalam masa yang terhad.

2) Sekiranya kura-kura berlepas terlebih dahulu, Achilles tidak akan dapat menghambatnya kerana apabila Achilles telah melalui jarak yang sama, kura-kura tersebut telah bergerak ke hadapan, dan seterusnya tanpa kesudahan.

3) Jika kita memanah ke arah sesuatu sasaran, anak panah tidak akan sampai ke sasaran itu kerana anak panah tersebut terpaksa melalui bilangan kedudukan yang tidak terhad dan perkara ini tidak boleh dilakukan dalam masa yang terhad.

4) Katakanlah terdapat tiga set pepejal yang dilabel sebagai A,B, dan C. A tidak bergerak; B bergerak ke satu arah, dan C bergerak ke arah yang berlawanan pada kelajuan yang sama. Pepejal B dan C akan melintasi satu sama lain dua kali ganda lebih cepat daripada pepejal-pepejal ini melintasi A. Oleh kerana itu, terdapat kelajuan yang sama pada kelajuan yang tidak sama, merupakan suatu hal yang tidak mungkin berlaku.

Dilema Zeno ini telah menyebabkan ahli falsafah pada zamannya kebingungan dan penyelesaian sebenar ini hanya tercapai menerusi perkembangan bidang fizik-matematik pada zaman moden.

*****************
SUMBER :

1) Zeno, Aliran Eleatik, Falsafah Yunani Di Itali Selatan Dan Sicily, Pemikiran Yunani, Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, (Terjemahan : Dewan Bahasa Dan Pustaka), M/s 70-71

KISAH RINGKAS DI ANTARA YARMOUK DAN QADISIYYAH

Situasi Peperangan al-Qadisiyah

Tidak dapat disangkakan bahawa Empayar Sassanid Persian dan Empayar Byzantine yang dahulunya bertumpah darah di antara satu sama lain, bergabung dan mewujudkan sebuah tentera perikatan untuk menyerang Daulah Islamiyah pada zaman Khulafa ar-Rasyidin...

Antara faktornya adalah kerisauan tanah jajahan milik kedua-dua empayar ini sedikit demi sedikit diambil oleh tentera Khulafa ar-Rasyidun di dalam ekspedisi tentera Islam... Lebih merisaukan adalah apabila tentera Islam berjaya mendapatkan Mesir pada tahun 642 dan Baitul Maqdis di mana kedua-dua tempat ini dimiliki oleh Empayar Byzantine sebelum itu... Ekspedisi tersebut berterusan ke utara Syam di bahagian utara dan ke Mesopotamia (Iraq) di bahagian Timur yang akhirnya ditawan oleh tentera Islam melalui Peperangan Firaz (Battle of Firaz) yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid... Oleh sebab perkembangan ini berlaku, maka Empayar Parsi dan Byzantine mula bergabung menjadi sebuah perikatan ketenteraan dengan cara perkahwinan...

Perkahwinan anak perempuan Maharaja Heraclius (sesetengah pendapat mengatakan cucu perempuan), Manyanh, bersama Maharaja Parsi ketika itu, Yadzergerd III, menandakan penjalinan hubungan perikatan di antara kedua-dua empayar ini bagi menghadapi ekspedisi tentera Islam pada ketika itu... Empayar Byzantine dan Parsi mula berpakat dengan menyerang tentera Islam di bahagian utara oleh Byzantine dan bahagian timur oleh Parsi... Di bahagian Byzantine, ketua panglimanya adalah Vahan manakala bahagian Parsi, ketua panglimanya adalah Rostam Farrokhzad...

Terdapat beberapa siri peperangan yang berlaku di bahagian utara dan timur, namun peperangan kemuncak bagi kedua-dua bahagian ini adalah Peperangan Yarmouk (Battle of Yarmouk) dan Peperangan Al-Qadisiyyah (Battle of al-Qadisiyyah)... Peperangan Yarmouk di bahagian utara menemukan tentera Byzantine di bawah pimpinan Vahan dan tentera Islam dibawah pimpinan Khalid Al-Walid... Peperangan al-Qadisiyyah di bahagian timur menemukan tentera Parsi di bawah pimpinan Rostam Farrokhzad dan tentera Islam dibawah pimpinan Sa'ad Abi Waqqas...

Walaupun bilangan tentera Islam di dalam kedua-dua siri peperangan ini lebih kecil berbanding tentera musuh... Namun keputusan peperangan bagi kedua-dua peperangan ini dimenangi oleh tentera Islam... Sehinggakan sejarawan Barat menilai Peperangan Yarmouk sebagai contoh peperangan yang bilangan tentera yang kecil mampu mengatasi bilangan tentera yang besar melalui kebijakan panglima tenteranya...

Strategi yang digunakan oleh tentera Islam bagi menghadapi kedua-dua empayar dilakukan secara teliti dalam menilai geografi, persiapan peralatan, bantuan ketenteraan, dan persediaan diri yang sentiasa berterusan... Tidak boleh dilupakan juga peranan wanita sepertimana di dalam Peperangan Yarmouk di mana diketuai oleh Hind (Hindun) yang ditugaskan untuk menaikkan semangat tentera Islam... Banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan kemenangan tentera Islam di dalam kedua-dua peperangan ini yang sekiranya diceritakan di sini akan menjadi penulisan yang panjang...

Kematian Vahan dan Rostam Farrokhzad dalam kedua-dua peperangan ini telah menyebabkan moral tentera kedua-dua empayar ini menjadi lemah oleh kerana "strategist" mereka sudah dibunuh oleh tentera Islam... Bukan itu sahaja, penawanan beberapa lokasi penting ketika peperangan tersebut sepertimana di dalam Peperangan Yarmouk, tentera Islam menguasai laluan jambatan di Wadi ar-Ruqqad... Bilangan tentera kedua-dua empayar ini mengalami kerugian yang besar di dalam peperangan ini yang akhirnya membuatkan penaklukan tentera Islam kemudian menjadi lebih mudah...

Seterusnya, ekspedisi tentera Islam diteruskan di bahagian utara terus ke Syria dan di bahagian timur berjaya menakluki Empayar Parsi di dalam Peperangan Nahavand (Battle of Nahavand)...
Di sini dapatlah kita melihat bahawa kualiti mengatasi kuantiti, pengadaptasian persekitaran sekeliling untuk dijadikan kelebihan di dalam peperangan dan strategi peperangan yang teliti dengan mengetahui kelemahan tentera musuh dan menguasai beberapa lokasi penting di kawasan peperangan... Perkara yang sangat penting yang menyebabkan tentera Islam berjaya adalah penanaman keyakinan kepada Allah s.w.t. di dalam menyampaikan kebenaran, tarbiyah yang tinggi dan pemantapan iman yang kuat bagi setiap tentera Islam...

Sunday, March 15, 2015

BENTUK NEGARA PADA PANDANGAN IBNU KHALDUN

Peta Tunis yang merupakan tempat kelahiran Ibn Khaldun.

Apabila disebutkan mengenai "negara", ia tidak lari daripada dua watak manusia yang berada di dalamnya iaitu "pemerintah" dan "yang diperintah"... lebih khusus lagi adalah "pemerintah" seperti "raja","sultan", "caesar" ataupun "khalifah", manakala "yang diperintah" terdiri daripada golongan rakyat jelata ataupun ahli masyarakat yang bernaung di bawah kekuasaan pemerintah tempatan... Di sini dapatlah kita melihat, terdapat hubungan di antara pemerintah dan rakyat di mana yang diperintah perlu taat dan patuh kepada arahan dan kedaulatan pemerintah dengan syarat pemerintah perlu melindungi mereka daripada ancaman, menegakkan keadilan sosial dan ekonomi dan kebaikan masyarakat...

Ibn Khaldun membuat sebuah perbezaan di antara bentuk-bentuk negara wujud pada zaman hidup dan sebelum beliau... Perbezaan yang beliau lakukan adalah lebih kepada perbezaan matlamat negara tersebut terhadap kedua-dua watak ini...

Secara ringkasnya menurut Ibn Khaldun terdapat tiga bentuk negara iaitu

1) Negara yang bermatlamatkan kebaikan rakyat di dunia dan akhirat.
2) Negara yang bermatlamatkan kebaikan rakyat di dunia.
3) Negara yang bermatlamatkan kebaikan pemerintah di dunia.

Disebabkan no. 2 dan 3 mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu berpaksikan kepada matlamat dunia dan tidak mempunyai matlamat akhirat, maka ia dikecilkan lagi kepada dua jenis matlamat yang umum, iaitu dunia dan akhirat, dan dunia sahaja...

Maka dengan itu dapatlah dibahagikan kepada dua jenis rejim (siyasa') iaitu

1) Rejim Syariah (Siyasa' Shar'iyya)/Rejim Agama (Siyasa' Dinniya)
2) Rejim Akal (Siyasa' 'Aqliyya)

Menyentuh sedikit konsep kedua-dua rejim, Rejim Syariah lebih merujuk pemerintahan yang bematlamatkan kehidupan di dunia dan akhirat, dimana sistem pemerintahan ini lebih berlandaskan wahyu daripada Tuhan... Rejim akal pula merujuk kepada pemerintahan yang bermatlamatkan kebahagiaan di dunia sahaja... Epistemologi bagi jenis pemerintahan ini lebih kepada akal sebagai sumber normatif untuk melaksanakan keadilan sosial terhadap masyarakat... Walau bagaimanapun, rejim akal ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

1) Bermatlamatkan kebahagian bersama.
2) Bermatlamatkan kepentingan pemerintah.

*****************
SUMBER :

1) Negara dan Budaya: Sebab Formal dan Material, Ilmu Budaya : Asas Dan Kaedahnya, Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun: Kajian tentang Dasar Falsafah Ilmu Budaya, (Muhsin Mahdi)

DOUBLE DUALISME ZOROASTRIANISME


Dilihat salah satu ciri penting di dalam agama Majusi ini adalah Dualisme Ganda Dua atau "Double Dualisme"...

Di dalam agama Majusi, pilihan merupakan konsep etika yang penting dalam agama Majusi... Di dalam kitab Gatha, terdapat dua jenis Roh Primordial (paling awal) yang dikategorikan kepada dua iaitu Keunggulan dan Kejahatan telah membuat pilihan mereka dengan menetapkan Kehidupan dan Bukan Kehidupan... Di akhirnya mereka memutuskan bahawa kewujudan dan kehidupan yang paling buruk merupakan pengikut Dusta dan manakala kehidupan roh yang baik (Manah) adalah pengikut kebenaran... Di sini pemilihan berlaku di mana pengikut Druj (kejahatan) memilih perbuatan yang buruk manakala pengikut Fravashi (paling suci) memilih Kebenaran dan memuaskan Ahura Mazda dengan perbuatan yang baik... Maka di sini kebaikan dan kejahatan dikaitkan dengan pilihan etika sama ada untuk memilih kebaikan ataupun kejahatan... Ini adalah dualisme yang pertama...

Dualisme yang kedua bukanlah cenderung ke arah pilihan namun lebih kepada sifat di antara Menok (Ghaib, Samawi) dan Getik (Nyata, Duniawi)... Tuhan menurut agama Majusi dikatakan mencipta alam duniawi ini untuk bertujuan mempertahankan dan melindungi alam samawi yang merupakan akarnya (bun)... Huraian Getik dan Menok ini dijelaskan di kitab Shikand Gumanik Vichar dengan membezakan dengan jelas di antara Getik dan Menok iaitu :

"Getik merupakan buah (bar) menok, menok ialah akarnya (bun)... Hakikat bahawa getik ialah buah dan menok ialah akarnya menjadi jelas apabila seseorang itu memikirkan bahawa setiap benda yang nyata dan dapat dirasai melalui alam keghaiban kepada kenyataan. Memang telah diketahui umum bahawa manusia dan makhluk lain yang nyata dan dapat dirasai datang daripada menok yang ghaib dan tidak dapat dirasai; demikianlah bentuk, jenis, tinggi dan lebarnya, seorang makhluk sama dengan makhluk yang mengeluarkannya; tubuh seorang manusia dan makhluk-makhluk lain, yang sekarang dimanisfetasikan,tersembunyi dan tidak kelihatan di dalam mani yang datang daripada ibubapanya; mani itu sendiri, yang berada di dalam pinggang ibubapanya, melalui tahap manifestasi, yang boleh dirasa. Oleh itu kita dapat mengetahui dengan pasti bahawa getik yang nyata dan dapat dirasai, dan tidak diragukan lagi bahawa ia akan kembali daripada keadaan boleh dilihat dan boleh dirasai kepada menok yang sama yang ghaib dan tidak dapat dirasai."

Dapatlah dilihat di sini bahawa jirim dunia merupakan aspek roh yang paling matang dan sempurna...
Taraf alam duniawi (getik) lebih tinggi berbanding syurga (menok). Hal ini demikian kerana, hanya di duniawi yang dinyatakan, perjuangan dalam menentang kuasa Kejahatan dapat dilaksanakan dan dimenangi... Oleh demikian, perjuangan yang penting adalah memecahkan bentuk tubuh Syaitan supaya tidak mampu dijelmakan... Kerana tanpa tubuh, syaitan kurang sempurna dan tidak merbahaya... Maka dengan itu, jirim (matter) itu sangat berguna di dalam perjuangan untuk menentang kejahatan... Oleh kerana kejahatan juga menggunakan konsep yang sama seperti Getik dan Menok...

*************
SUMBER :

1) Pemikiran Iran Pra-Islam, Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, (Terjemahan : Dewan Bahasa Dan Pustaka)

Saturday, March 14, 2015

AL-HAYAT AL-DUNYA


Konsep sekular merupakan konsep yang hampir serupa dan dekat dengan konsep di dalam Islam iaitu kehidupan "dunia" (al-hayat al-dunya)... Perkataan 'dunya" diambil daripada perkataan "dana" yang memberi makna iaitu sesuatu yang dibawa dekat... Oleh itu, dunia ini merujuk kepada :

"the world that brought near to the sensible and intelligible experience and consciousness of man"

Maka, dunia yang dilihat ini berdasarkan Islam merupakan sebuah halangan atau gangguan bagi manusia untuk melihat matlamat akhir dimana ia melangkau pemikiran mereka iaitu alam akhirat... Sepertimana dunia ini digambarkan "dekat" bagi kita oleh kerana kita mengalaminya sendiri dengan pancaindera dan akal kita, Akhirat digambarkan "jauh" daripada sudut fikiran dan inderawi kita yang mustahil dapat dilihat melainkan dengan mengimani melalui Al-Quran dan Sunnah... Digambarkan di dalam Al-Quran bahawa kehidupan di alam akhirat adalah lebih baik berbanding kehidupan di dunia di mana ia hanya sekadar sementara dan fana... Sepertimana di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 :

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat"

Walau bagaimanapun, konsep dunia di dalam Islam tidaklah menekankan manusia untuk menyingkirkan terus daripada diri manusia dengan menumpu seratus peratus kepada kehidupan di akhirat... Ia lebih kepada memberi amaran kepada umat manusia dan orang yang beriman supaya tidak terkandas dan terbabas ke dalam kehidupan dunia ini yang berpotensi memesongkan manusia daripada akhirat... Islam tidaklah menafikan kehidupan dunia ini dengan menafikan peranan alam ciptaan Allah swt sepertimana yang dinafikan oleh ajaran sekular...

Disebabkan dunia ini "dekat" dengan kehidupan manusia, maka dunia ini juga mempunyai alam ciptaan Allah swt sebagai 'tanda' (ayat) mengenai kewujudan diri-Nya kepada manusia... Seorang Muslim menjadi bermasalah sekiranya menyingkirkan alam dan dunia yang merupakan sebuah "tanda" daripada Tuhan (Signs of God)... Malah manusia juga bermasalah sekiranya memahami alam dan dunia tidak seperti tujuan penciptaannya iaitu dengan menyembahkan ciptaan Tuhan berbanding Tuhan itu sendiri... Maka dengan itu kehidupan di dunia ini perlulah diselarikan dengan matlamat akhir hidup ini iaitu supaya menuju kejayaan di hari akhirat kelak...

*****************
SUMBER :

1) Secular-Secularization- Secularism, Islam And Secularism, Syed Muhammad Naquib Al-Attas

ISTIQAMAH PEMBUDAYAAN ILMU


Masyarakat berbudaya ilmu dalam pelaksanaan kehidupan mereka tidak kira sama ada individu dan masyarakat perlu mengekalkan momentum budaya tersebut agar budaya ini berterusan hingga generasi berikutnya... Budaya ilmu disini adalah kesemua masyarakat tidak kira lapisan mengamalkan tindakan yang berasaskan ilmu pengetahuan... Walaupun wujudnya pembudayaan ilmu dalam masyarakat, sekiranya tidak istiqamah, akan kembali kepada kegelapan jahiliyah sepertimana yang terakam di dalam sejarah tamadun-tamadun terdahulu... Oleh itu, perlulah kita mewujudkan nilai-nilai bagi membentuk budaya ilmu yang konsisten...

Ilmu pengetahuan perlulah diletakkan sebagai kebaikan utama dan asas dalam menilai kebaikan... Di dalam pelaksanaan keputusan, dasar dan perundangan perlulah merujuk kepada ilmu pengetahuan... Bukanlah berdasarkan taqlid yang tidak diketahui dari mana asasnya muncul dan emosi bagi memuaskan hati nafsu peribadi yang memberikan kezaliman kepada beberapa pihak... Penilaian sesuatu kebaikan itu perlulah berlandaskan ilmu kerana "kebaikan" berkemungkinan kelihatannya seperti baik untuk masyarakat secara zahirnya sekiranya tidak diselidiki dahulu "kebaikan" tersebut yang mungkin memberi kemudaratan kepada orang lain... Tanpa ilmu, "kebaikan" itu sudah tentu disalahgunakan dan menjadi suatu kezaliman kepada masyarakat oleh kerana ketiadaan ilmu dalam diri masyarakat untuk mengetahui sesebuah perkara...

Maka di sini, Ilmu sebagai kebaikan utama diiringi dengan kebencian terhadap kejahilan, bebal dan kepalsuan... Kerana sifat jahil ini membuatkan masyarakat akan bertindak tidak sepatutnya, menzalimi orang lain dan memusnahkan masyarakat itu sendiri... Sifat anti-jahil perlu diterapkan dengan sebaiknya supaya tindakan individu dan masyarakat perlu diasaskan dengan ilmu kerana lawan bagi jahil adalah berilmu...

Penerapan ilmu dalam mewujudkan budaya ilmu yang konkrit perlulah dimulakan dengan pendidikan... Matlamat pendidikan itu perlulah mengangkat ilmu ke tempat yang tinggi dan mulia dan perlu berpaksikan kepada Pencipta sepertimana di dalam pandangan alam (Welstanschauung) Islam... Bukanlah menjadikan ilmu itu hanya sekadar alat untuk mencari kepentingan kuasa, nama atau harta... Dan bukanlah ilmu itu dijadikan sebagai sumber tenaga bagi melahirkan pekerja yang berkualiti... Pengajian ilmu yang hanya semata-mata untuk ganjaran harta adalah suatu yang merugikan kerana pembaziran masa dan tenaga walhal terdapat jalan yang lebih mudah untuk mendapatkan harta seperti berdamping bersama penguasa dan berniaga... Ibn Hazm menyatakan :

"Menuntut ilmu dengan tujuan mengumpul harta adalah cita-cita yang sangat sempit kerana harta dapat diperoleh dengan lebih mudah dan cepat daripada (memperolehnya) melalui peningkatan ilmu, iaitu dengan menyertai orang yang berkuasa atau dengan melibatkan diri dalam urusan hartanah atau perniagaan. Malah, seorang yang jahil lebih berjaya dalam urusan tersebut berbanding dengan seorang ilmuwan. Jika inilah keadaannya, menuntut ilmu untuk mendapatkan kekayaan adalah rumit dan berbahaya oleh kerana si penuntut akan menambah dua keaiban besar : Pertama dia telah meninggalkan jalan yang lebih dekat dan lebih mudah bagi mencapai cita-cita dan tujuannya dengan memilih jalan yang lebih berduri yang melibatkan usaha lebih dan kurang manfaatnya (untuk tujuannya); kedua dia telah menggunakan perkara tertinggi (iaitu ilmu, penulis) yang membezakannya daripada reptilia dan haiwan bagi memperoleh batu-batu yang dia tidak tahu bila batu-batu ini akan meninggalkannya dan sebaliknya.... Manfaat menuntut ilmu untuk kegunaan duniawi hanya sedikit, dan pada keseluruhannya, mempunyai keuntungan kecil.... Hakikatnya, seseorang yang memperoleh ilmu yang tinggi dan memperalatkannya untuk kekayaan dan tidak untuk tujuan sebenarnya akan mengalami penyakit (kerohanian) yang tidak terubat, keburukan sepenuhnya dan kerugian yang menghancurkan."

Pendidikan yang bermatlamatkan keilmuan bukanlah sepertimana yang difikirkan pada zaman kini iaitu dalam bentuk yang formal seperti meletakkan pengajaran ilmu hanya di institusi seperti sekolah, kolej, dan universiti... Pengkelasan ilmu dengan meletakkan pendidikan formal sahaja dikatakan berilmu adalah suatu konsep yang sempit... Seharusnya pendidikan informal dan non-formal perlu juga diletakkan seiring bersama pendidikan formal kerana adakalanya pendidikan,seperti contoh, informal yang berlandaskan pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan perbualan lebih banyak berbanding pendidikan formal... Maka pembudayaan ilmu itu tidaklah terbantut setelah selesai sahaja menghabiskan pelajaran di institusi pengajian namun berterusan sehingga ke liang lahad...
Pengiktirafan terhadap golongan ilmuwan dan ahli fikir perlu diletakkan pada tempatnya di dalam meneruskan pembudayaan ilmu dalam masyarakat... Di mana mereka ini merupakan rujukan bagi masyarakat bagi memberi pandangan dan ulasan terhadap perkara-perkara berbangkit... Namun perlu juga diketahui, apabila disebut mengenai "ilmuwan" atau "ahli fikir" bukanlah hanya tertumpu kepada golongan akademik, cendekiawan, ustaz-ustaz mahupun profesor... Tetapi kepada semua golongan dalam semua lapisan masyarakat yang mempunyai kemahiran dan kepakaran bidang masing-masing... Sepertimana Ibn Sina pernah mempelajari Matematik daripada peniaga sayur-sayuran...

Pada zaman pertengahan Islam dahulu, institut pengajian ilmu tidaklah tertumpu di masjid dan universiti... Malah madrasah, pasar, hospital, zawiyah, dan perpustakaan... Disebabkan institut dan tempat yang pelbagai ini, pengembangan ilmu menjadi lebih cepat dan menghasilkan masyarakat yang berilmu... Masyarakat tidak perlu mencari-cari jawapan yang diinginkan dan berjalan jauh oleh kerana kehidupan masyarakat berilmu berlaku di sekeliling... Pendidikan formal, informal dan non-formal tidak wujud pada zaman ketika itu... Disebabkan ilmu merupakan satu kewajipan yang penting dalam Islam, pendidikan yang berlaku pada ketika muncul di merata tempat... Hatta Imam Abu Hanifah yang merupakan seorang peniaga kain kerap kali berbincang mengenai perundangan di dalam kedainya...

Maka perlulah di sini kita melihat bahawa bagi menjayakan budaya ilmu dalam masyarakat, perlulah masyarakat tersebut meletakkan ilmu sebagai sebuah kemuncak di dalam pelaksanaan... Kerana ketiadaan ilmu dalam melaksanakan tindakan ibarat membina bangunan di atas pasir yang akhirnya hanyut sekiranya berlaku hujan...

**************************
SUMBER :

1) Budaya Ilmu : Satu Penjelasan, Wan Mohd Nor Wan Daud

KITA INI SIAPA?


"Banyak rahsia dalam alam ini. Kita tidak tahu, tetapi ingin tahu. Langit lazuardi yang indah berwarna biru, bintang-bintang cakerawala, dengan matahari dan bulannya, angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, nampak semuanya bila kita menengadah ke atas. Kita alihkan pandangan ke bawah nampaklah dunia, lautan dan daratan, gunung-ganang dan padang pasir, hujan turun membasahi bumi, maka hiduplah bumi sesudah matinya; burung-burung terbang dari dahan hinggap ke dahan. demikian juga binatang, margastua yang hidup di dalamnya. Lalu terlibat pula bangsa manusia sendiri, hidup bermasyarakat berpuak-puak, ibu menyusukan anak, ayah mencari makan. Maka terlihat pulalah diri sendiri, dengan keajaiban dan keindahannya. Takjub, hairan, seribu macam atau satu tanda tanya : "Apakah ini? Dari manakah datangnya? Kemanakah kesudahannya?" Rahsia dan penuh rahsia. Bila sedang berfikir hendak menyelidiki, hendak tahu apakah rahsia itu, kembalilah segala tanya yang sulit tadi kepada yang bertanya : "mengapa saya bertanya?" "siapa saya" rahsia. Semua orang ingin memecahkan rahsia-rahsia besar itu. Sebab itulah dapat dipastikan semua orang pada hakikatnya ialah calon filsuf (ahli fikir), meskipun hanya sedikit sekali yang akhirnya jadi filsuf... Setelah puas mencari rahsia itu, barulah timbul seorang filsuf luar biasa, yang tidak lagi hendak menengadah ke atas, tetapi mengajak sesama filsuf mengupas sato soal yang lebih besar dari segala soal itu, iaitu : "Kita ini siapa?"

HAMKA
FALSAFAH HIDUP

SECEBIS SEKULARISASI


Barat memikirkan bahawa sekularisasi ini merupakan sebuah proses "evolusi" daripada sebuah pemikiran yang primitif iaitu kehidupan beragama kepada kehidupan yang berpaksikan pemikiran rasional dan empiris yang dikatakan sebagai pemikiran yang bertamadun...

Mereka menyatakan ia merupakan sebuah pembebasan daripada kehidupan beragama yang bergantung kepada unsur spiritual atau metafizik bagi urusan kehidupan mereka... Pembebasan atau kemerdekaan diri daripada agama ini membuatkan mereka sudah mampu hidup dengan sendirinya tanpa bergantung kepada unsur metafizik... Bahkan mereka menolak kewujudan spiritual dan metafizik dengan menumpukan hanya kepada unsur materialis dan kebendaan... Sifat alam juga dipisahkan daripada kehidupan manusia dan melihatnya hanya sekadar bahan material yang tiada unsur kerohanian dan metafizik sepertimana yang dilihat oleh agama...

Mereka memandang kehidupan beragama ini sebagai sebuah fasa bayi atau "infancy" yang menghadapi suatu proses peralihan melalui cara sekularisasi yang akhirnya membentuk sebuah fasa matang (mature)... Sepertimana bayi yang perlu bergantung kepada ibubapanya begitulah yang digambarkan bagi kehidupan beragama manakala apabila sudah dewasa bayi itu, dia tidak perlu lagi bergantung kepada ibubapanya dan berkemampuan untuk hidup dengan sendiri...

************
SUMBER :

1) Secular-Secularization- Secularism, Islam And Secularism, Syed Muhammad Naquib Al-Attas

DISENCHANTMENT OF NATURE


Penyingkiran dan pemisahan alam daripada manusia telah membuatkan nilai terhadap alam direndah-rendahkan dan tidak mempunyai apa-apa manfaat kepada manusia pada kaca mata sekular Barat... Malah, alam pada mereka ini hanya sekadar "bahan" yang digunapakai untuk kehidupan seharian mereka dan dimusnahkan begitu sahaja kerana ketiadaan nilai bagi mereka sekiranya unsur-unsur alam itu tidak memberi manfaat kepada mereka... Alam ini juga hanya sumber bahan mentah yang digunakan oleh golongan seperti kapitalis atas tujuan modal untuk menghasilkan produk mereka bagi mendapatkan keuntungan yang lumayan... Bagi mereka yang memegang idea sekular ini, alam ini tidak ada kena mengena dengan unsur perhubungan dengan Tuhan dan tidak mempunyai nilai intrinsik dan kerohanian yang tersembunyi di sebaliknya...

Walaupun begitu, seorang agamawan Kristian yang berpengaruh di Eropah pada zaman pertengahan iaitu Bonaventure of Bagnoregio telah membawakan dan mengangkat kembali konsep dan pandangan terhadap alam kepada Teologi Kristian pada ketika itu yang diambil daripada Al-Quran dalam bahasa Latin... Walau bagaimanapun, beliau tidak mengembangkan ideanya oleh kerana Western Christianity tidaklah cenderung melihat alam ini sebagai subjek perbincangan yang melibatkan dengan akal... Dan ketika itu juga, berlakunya pertelingkahan di antara Gereja dan cendekiawan Barat dari sudut kegunaan akal dan intelektual yang bercanggah dengan amalan Gereja pada masa itu... Hal ini menyebabkan pihak Gereja telah menyekat penggunaan akal melainkan hanya untuk digunakan untuk mempercayai unsur tahyul dan khurafat oleh Gereja...

Pada pandangan alam dan falsafah Islam, alam ini mempunyai hubungkait yang rapat di antara manusia dan Tuhan... Allah swt telah menjadikan alam ini sebagai tanda (ayat) kepada manusia bagi menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah swt... Melalui alam ini, manusia boleh menghubungkan dirinya kepada Allah melalui renungan yang dalam dan mengambil pengajaran daripadanya... Sepertimana di dalam surah Al-Baqarah Ayat 164 menyatakan bahawa :

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran."

Alam ini juga mempunyai nilai yang mendalam bukan sahaja dari segi luarannya yang perlu digunakan oleh manusia untuk kehidupan mereka... Malah ia juga mempunyai nilai intrinsik yang membawa manusia untuk berfikir dalam dan mentadabbur isi kandungan alam ini supaya dibawakannya kepada pengabdian kepada Allah...

Maka dengan itu, tanggungjawab manusia yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah (vicegerent) di bumi sepertimana di dalam surah Al-Baqarah Ayat 30 mengatakan :

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"."

bagi mentadbir alam ini dengan sebaiknya tanpa ada kezaliman dan ketidakmakmuran terhadap alam ini... Ia perlu memastikan bahawa hubungan manusia terhadap alam (Huqquq al-Alam) terjamin dan harmoni...

Walaupun di dalam Al-Quran terdapat ayat yang menunjukkan "disenchantment of nature"... Namun, "disenchantment of nature" itu tidak sepertimana yang difikirkan oleh pandangan sekular Barat... "Disenchatment of Nature" yang dimaksudkan di dalam Al-Quran ini adalah menjurus kepada menyingkir fahaman-fahaman animisme dan kepercayaan tuhan-tuhan yang mewakili alam ini... Ia bertujuan bagi membawa kepada keesaan Tuhan yang mentadbir alam ini iaitu Allah swt...


*************
SUMBER :

1) Secular-Secularization- Secularism, Islam And Secularism, Syed Muhammad Naquib Al-Attas

DECORATIVE EDITION


Satira tajam yang perlu direnungi oleh pembeli buku...

Adakah tujuan pembelian buku hanya untuk mempamerkan di hadapan orang ramai bahawa kita ini bijak atau mendapat puji-pujian? Malah lebih menyedihkan adalah buku-buku yang dibeli dibiarkan berdebu di almari tanpa dibaca dan menggali keilmuan di dalam buku ini...

Sebaiknya perlulah kita meletakkan keadilan kepada buku yang dibeli dengan memanfaatkannya, bukanlah dijadikan perhiasan bagi santapan mata untuk diri dan juga orang luar... Perbetulkan niat kita bahawa pembelian buku adalah tujuan untuk mendalami ilmu di dalamnya, bukanlah dijadikan "alat" megah-megahan...

cc : http://existentialcomics.com/comic/62