Alhamdulillah. Ekspedisi mendaki Gunung Jerai yang berlangsung pada hari semalam dari pagi hinggalah ke malam memberikan pengajaran dan renungan untuk diri dan rakan-rakan seperjuangan dalam pendakian. Pendakian ke gunung yang sama untuk kali ketiga memberikan pengajaran yang unik dan mungkin pengajaran ini mengukuhkan lagi pengajaran daripada pendakian ke gunung yang sama sesebelum ini. Sekiranya tanggungjawab manusia yang diperintahkan oleh Allah untuk memerhatikan alam ciptaan Allah ini maka banyaklah renungan yang tidak terkira untuk difikirkan kembali. Salah satu ciptaan Allah iaitu gunung ini seolah-olah menjadi murabbi kepada diri ini dengan mengajarkan diri supaya mentadabbur fungsi dirinya bagi kita.
Sekiranya dalam pendakian ini kita mengetahui bahawa matlamatnya adalah menuju ke puncaknya. Sebelum ke puncak itu, kita bersusah payah, berhempas tenaga, menguatkan jiwa dan mengharungi cabaran mendaki walaupun fizikal sudah mengatakan "berundurlah" dan "setakat ini je la". Begitulah kita umpamakan puncak gunung itu sebagai matlamat kita dalam memperjuangkan erti kehidupan. Di dalam menumpu terhadap puncak matlamat yang dicapai, penuh rintangan dan onak duri yang akan menyekat kita supaya tidak mencapai matlamat kita. Adakala kita hendak sahaja berhenti setakat itu sahaja, ada yang kecundang sebelum mencapai matlamatnya dan adakala cuba meneruskan walaupun berluka-luka di tubuh badan dan jiwa. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencapai matlamat dan kejayaan. Begitu juga di dalam mencapai kejayaan alam akhirat.
Ketika mendaki gunung ini, kami bersama-sama berkongsi tenaga dan bekalan makanan dan minum bagi bersama mengharungi demi mencapai ke puncak gunung. Walaupun pada asalnya masing-masing membawakan bekalan mereka sendiri namun ketika perjalanan kesemua bekalan itu tidak lagi menjadi milik peribadi tetapi menjadi milik bersama. Bekalan itu dikongsi kepada rakan-rakan bagi yang memerlukannya. Sekiranya diandaikan untuk kehidupan di dalam berkumpulan yang mempunyai kesatuan matlamat dan objektif, pengorbanan itu sangat-sangatlah penting walaupun kita membutuhkannya namun demi rakan-rakan kumpulan yang lebih memerlukannya maka berikanlah ia kepada rakan-rakan supaya kejayaan di akhir nanti tidaklah dinikmati berseorangan tetapi dinikmati bersama. Sifat individualistik perlu dibuang sekiranya bekerja secara berkumpulan bagi mencapai objektif. Begitulah di dalam Islam, janganlah membiarkan rakan-rakan seagama ditinggalkan di neraka walhal kita bersenang lenang di Syurga. Bawakanlah mereka bersama-sama supaya dapat memasuki Syurga dan menikmati di dalamnya bersama-sama.
Ketika mendaki Gunung Jerai ini, sebahagian rakan menjadi pendorong kepada yang lain ketika berusaha mencapai ke puncak. Laungan semangat dan bersifat optimis dijadikan pemetik api kepada yang lain supaya terus mendaki. Masing-masing mengetahui dengan kemampuan yang berbeza, ada yang lemah kekuatan fizikalnya, ada yang lemah jiwanya dan lain-lain lagi. Ketika itu moral rakan-rakan lain menjadi lemah ketika mendaki akibat keletihan dan kepenatan. Maka dengan itu sebahagian kami menjadi penaik semangat membantu rakan-rakan meneruskan pendakian. Begitulah ketika bekerja di dalam kumpulan, gerakan atau jemaah. Usaha pendorong perlu menarik rakan-rakan yang sebegini menjadi dorongan dan motivasi supaya meneruskan perjuangan. Pendorong perlu menjadi seorang yang kuat dan bersifat optimis supaya menaikkan semangat rakan-rakan yang lain.
Ketika kami hendak menaiki gunung ini, kami menyediakan persiapan dan persediaan bekalan secukupnya dibawa bagi memastikan diri tidak kelaparan, kehausan dan mengurangkan bebanan kesakitan ketika mendaki. Kami berbincang mengenai kos penggunaan kereta sewa dan minyak dan cara untuk sampai ke Gunung Jerai supaya berjalan dengan lancar. Sekiranya tidak menyediakan persiapan ini maka sudah tentulah kami tidak akan berjaya mencapai ke puncaknya dan menikmati panorama alam dari atas. Jika diibaratkan di dalam kerja tidak kira dunia dakwah ataupun lain-lain lagi, persiapan dan perancangan itu penting bagi mencapai sesebuah objektif. Kegagalan di dalam perancangan mampu membantutkan usaha kita mencapai objektif yang diinginkan. Perancangan sebelum pelaksaaan dikira sangat penting di dalam organisasi dan kumpulan kerana perancangan inilah yang menjadi hala tuju bagi mencapai objektif.
Rakan-rakan kami dalam pendakian sering membicarakan mengenai kekuatan fizikal, mental dan jiwa. Keletihan, kesakitan, kehausan dan kelaparan mendorong rakan-rakan supaya bersabar dalam pendakian. Malah ketika mendaki, kami kehabisan air untuk diminum. Maka elemen sabar ini penting di dalam menempuh cabaran dan dugaan. Difikirkan di dalam akal selalu menyebutkan bahawa alam ini mengajarkan manusia dengan cara membunuh manusia itu oleh kerana alam ini tiada belas kasihan ketika mendidik manusia. Sekiranya manusia itu berjaya maka manusia itu telah mencapai pengalaman yang hebat namun sebaliknya manusia itu akan tenggelam di telan alam sekiranya gagal. Sekiranya mahu menundukkan nafsu dan ego di dalam hati maka ceburi di dalam pendakian. Ternyata kesabaran akan cuba menundukkan keegoan diri.
Ketika kami tiba di Telaga Tok Sheikh di Gunung Jerai, kami sempat bertemu bual dengan pengunjung yang tiba di sana untuk mengambil air telaga tersebut. Kami bertanyakan apakah keistimewaan air telaga ini sehingga pengunjung di situ mandi dan mengambil air telaga itu sehingga berbotol-botol. Namun jawapan yang diberikan agak mengecewakan kami lagi-lagi jawapannya dicampurkan unsur khurafat dan takhayul. Lebih menyedihkan lagi ketika hendak mengambil wudu’ daripada air telaga itu, kami melihat limau purut dan bunga-bungaan di sana-sini bagi menandakan ada orang bermandi bunga di telaga itu. Kata-kata mereka mengatakan bahawa telaga ini mempunyai khasiat dan unsur mistisme yang mampu memberikan kebaikan kepada manusia yang menggunakan air telaga itu. Kemudian ditambahkan lagi dengan cerita-cerita mistik dengan mengatakan buah limau mengekori mereka ketika balik, melihat kelibat Tok Syeikh mengambil wudu’ dan mandi di telaga tersebut dan air telaga itu menjatuhkan batu permata bagi insan yang terpilih. Kami berasa sungguh hampa dengan mereka-mereka yang mengambil kesempatan atas tujuan mendapat khasiat bagi mencapai kepentingan mereka atas nama Syeikh ini yang mengikut sejarahnya meng-Islam-kan Sultan Kedah pada ketika itu dan membina masjid di puncak Gunung Jerai. Bahkan pengunjung juga mengajak kami untuk mandi dengan telaga tersebut. Kami berasa sedih kerana mendengarkan pengunjung berzikir-zikir bagi hendak mendapatkan keberkatan daripada makhluk walhal tujuan berzikir adalah untuk bertaqarrub kepada Allah. Kami mengambil keputusan untuk menunaikan solat fard sahaja oleh kerana terdapat penyediaan wakaf untuk solat berdekatan dengan telaga tersebut dan mengambil air telaga untuk tujuan bekalan minuman kami untuk meneruskan perjalanan. Kami lebih mempercayai bahawa yang menentukan khasiat itu bukanlah telaga atau keberkatan tok syeikh itu tetapi daripada Pencipta tok Syeikh itu iaitu Allah s.w.t. dan mengambil pengajaran untuk tidak melakukan amalan khurafat sebegini yang mampu membawakan kami kepada syirik kepada Allah. Kami melihat mereka mempergunakan agama bagi tujuan mencapai mistisme yang semstinya karut, bukanlah mencapai ketaqwaan kepada Allah. Kami lebih berpegang bahawa Islam ini merupakan agama yang membawa hujah yang mampu diterima oleh akal dan bukanlah agama yang berteraskan khayalan dan mitos.
Akhir sekali, kami tiba di puncak Gunung Jerai dapat menikmati suasana alam yang tidak mampu digambarkan melainkan dengan merasainya sendiri. Angin yang bertiup menyejukkan tubuh dan pemandangan alam yang menenangkan jiwa membuatkan kami berasa bersyukur dengan usaha kami semasa mencapai pendakian. Kepuasan yang dinikmati itu tidaklah dapat dihitungkan. Ketika menikmati pemandangan yang diciptakan oleh Allah ini, kami melihat pemandangan sawah di bawah dan tidak nampak manusia dan kereta pun di bawahnya yang melalui di jalan raya oleh kerana terlampau kecil dan kami berada di tempat yang tinggi. Sekiranya difikirkan kembali kita ini hanyalah seorang insan yang kerdil yang tiada apa pun kekuatan berbanding yang Maha Esa. Siapalah kita untuk berbongkak dan mendagu ke arah langit sedangkan sifat itu tidak layak bagi kita. Maka renungilah kembali siapakan diri kita ini di hadapan Tuhan kita yang Maha Kuasa dan Maha Agung. Apabila melihat ini pemandangan alam daripada Hotel Regency di atas Gunung Jerai dimana di sebelah kiri pandangan adalah laut, di bahagian kanan adalah sawah padi yang menghijau dan terhampar seperti tikar dan di bahagian atas pula kelihatan awan yang membentuk formasinya dan langit yang membiru yang terbuka luas. Maka terlintas dalam fikiran:
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

