Wednesday, April 13, 2016

PERIUK ITU MENGGELEGAK


Periuk menggelegak kepanasan,
Apinya berjulang-julangan,
Airnya membuih-buih berlimpahan,
Dikeluarkan tawaran, untuk siapa periuk itu disentuhkan?
Tiada yang berani ke hadapan,
Kerana sedar akibat penalaran,
Melainkan yang 'buta' penglihatan.

Tanpa bekalan, dimulakan sentuhan,
Disentuh mula melatah.
Melecur panas, sambil bermadah,
Bertengkar silap dan salah,
Masing-masing mula bertelagah.

Disalahkan periuk, periuk hanya sebuah takungan,
Disalahkan airnya, airnya hendak mematikan kuman,
Disalahkan api, periuk itu hanyalah tujuan,
Disalah penawar, mereka hanya pemberi ruangan,
Disalah penyentuh, mereka sendiri membuat keputusan.

Disebabkan ia 'buta',
bekalan tiada ataupun lupa,
jahil atau lalai timbul di muka,
hakikat ilmu tiada pada jiwa dan raga.
maka rugi dirinya,
rosak aibnya.

Setiap perkara ada tempatnya,
Setiap tujuan ada jalannya,
Setiap hasil ada kaedahnya,
Setiap bahan ada alatnya.

Sekiranya sistem ini terlanggar,
rosak segala susun atur hasil pakar,
keliru umat, tiada sinar.
memetik api 'kebenaran' supaya berpancar.
tapi diri sendiri yang terbakar.