Monday, November 24, 2014

ULASAN KARYA : PERBUKUAN ISLAM DAN KECENDERUNGAN INTELEKTUALISME DI MALAYSIA


Perkembangan penerbitan buku Islam di Malaysia sangatlah menggalakkan dan menunjukkan satu tanda yang baik dimana masyarakat mula menyedari bahawa kepentingan ilmu agama di dalam hidup masyarakat Islam di dalam Malaysia. Statistik buku-buku yang diterima oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam jangka 30 tahun daripada 1966 hingga 1996 dibawah Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1996 dan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 berjumlah 5663 judul buku agama diterima. Jumlah ini merupakan jumlah ketiga terbesar selepas buku-buku dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Antara salah satu sebab yang menyebabkan perkara ini berlaku disebabkan kelahiran syarikat penerbitan buku Islam secra kecil dan besar yang cuba mengisi permintaan masyarakat.

Walaupun begitu, belum ada kajian, yang begitu mendalam dan menyeluruh mengenai sejauhmana hubungan penerbitan buku-buku Islam terhadap kecenderungan intelektualisme Islam di Malaysia. Jika kita lihat buku-buku Islam ini terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu Islam seperti Al-Quran, Hadith, Syariah, Fiqh, Ibadah, Tauhid, Tasawuf, Pendidikan Islam, Politik Islam dan Ekonomi Islam. Namun apa yang menjadi masalah adalah kekurangan buku dari segi sains, falsafah, kesusasteraan dan kesenian. Namun, di akhir-akhir tiga dekad ini, buku-buku Islam mula mempunyai pelbagai ragam jika dilihat daripada pembahagian disiplin-disiplin ilmu Islam. Daripada keadaan ini, kita dapat melihat pembaca-pembaca Islam mula berminat kepada buku-buku Islam yang pelbagai.

Penulis buku ini bertanyakan kepada beberapa penerbit buku Islam mengenai kecenderungan buku-buku Islam yang dibaca dan dibeli oleh masyarakat Islam di Malaysia. Kebanyakan penerbit buku Islam menjawab bahawa buku-buku yang dibaca oleh masyarakat lebih buku yang bercorakkan syariah, fiqh dan tasawuf. Berdasarkan pandangan penulis buku ini, sememangnya bidang ini menjadi bidang ‘popular’ dalam kalangan masyarakat Islam kerana inginkan kepastian bagi menjawab persoalan hukum dan cuba mengisikan keagamaan di dalam hati mereka terutamanya dari segi syariah dan tasawuf-sufistik. Buku-buku seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan Buya HAMKA laris dijual di dalam pasaran dan dicetak berulangkali tempatan. Di samping itu juga, buku yang dinukilkan oleh ustaz-ustaz tempatan juga dicetak berulangkali dalam membicarakan fardhu ‘ain. Bagi pandangan penulis buku ini, buku-buku yang berunsurkan fiqh dan tasawuf akan terus laris kerana ia memberikan panduan dan ketenangan kepada pembaca untuk menjadi panduan hidup.

Faktor lain yang menyebabkan berlakunya peningkatan buku-buku Islam menjadi laris adalah perkembangan wacana yang pelbagai. Namun apa yang menjadi masalah adalah penerbit buku menggali dan mendapatkan sumber-sumber naskhah dalam bahasa asing seperti dalam bahasa Arab dan Inggeris. Oleh itu, bermulalah aktiviti terjemahan buku dalam bahasa tempatan berlaku dengan giatnya.

Pada tahun 1970-an, buku-buku karya hasil tulisan Syed Qutb, Hassan Al-Banna, Abu ‘Ala Al-Maududi dan Fathi Yakan terkenal di dalam pasaran tempatan. Buku-buku yang bercorakkan ‘harakah’ dan perbezaan ideologi mula dijadikan sebagai ‘teks’ wajib di dalam usrah peringkat mahasiswa dan gerakan Islam di Malaysia. Tambahan pula, pada ketika itu pula, laungan kebangkitan Islam dan kembali kepada fitrah Islam membuatkan buku-buku yang bercorakkan ‘politik Islam’ digiatkan lagi di dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Namun begitu, peristiwa yang paling penting pada ketika itu ialah Revolusi Islam di Iran. Revolusi ini menyebabkan golongan akademik, politikus, dan wartawan Muslim dan Barat mengambil perhatian dan menanggapi bahawa akan berlakunya “Islamic Revivalisme”. Ada juga daripada beberapa cendekiawan cuba mengkaji kembali teori politik Islam yang sedia ada untuk menilai konflik, perubahan, kemajuan dan pembangunan. Karya-karya politik Islam yang menjadi tumpuan orang ramai pada ketika itu ialah Khomeini dan Ali Syari’ati. Namun demikian, perhatian ini tidaklah menyeluruh di Malaysia kerana latar belakang tokoh-tokoh ini yang beraliran Syiah yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Pada tahun 1990-an, kecenderungan penerbitan buku Islam lebih kepada ‘tuntutan Islam” dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pembangunan dan pendidikan. Kemasukan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Anwar Ibrahim, ke dalam UMNO dan galakan daripada kabinet menteri terhadap penerbitan buku Islam dalam pelbagai bidang. Tambahan pula, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam diperkenalkan bagi mengurangkan tuntutan “politik Islam” kepada mengisi “makna Islam” dalam pelbagai bidang. Buku-buku terbitan International Institute of Islamic Thought (IIIT) mendapat sambutan daripada golongan akademik. Gagasan “Islamisasi Ilmu” telah diperkayakan dalam pelbagai bidang. Antara buku yang menjadi tumpuan pada ketika itu ialah karya Ismail Raji Al-Faruqi, Seyyed Hossein Nasr, Abd. Hamid Sulaiman dan Khurshid Ahmad dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Pada awal tahun 1990-an, karya sarjana bukan Muslim seperti John L. Esposito, Edward Said, dan John O’ Voll mendapat perhatian dan menunjukkan wacana pemikiran Islam di Malaysia mula berkembang daripada dunia Islam dan sebaliknya. Perkara ini berpunca secara tidak langsung berkait rapat dengan kecenderungan ahli akademik dan para ulama melanjutkan pendidikan pascasarjana di institute pengajian tinggi di Amerika dan Eropah. Wacana Islam yang merujuk kepada karya yang berunsurkan pemikiran Islam seperti karya Fazlur Rahman, Seyyed Hossein Nasr dan Ziauddin Sardar. Walaupun mereka berakar kepada tradisi Islam namun juga mereka sangat kritikal terhadap Barat dan ajaran Islam daripada aspek-aspek tertentu yang berkembang dalam sejarah. Wacana ini tidaklah menafikan wacana Islam yang berkembang di Timur Tengah seperti yang terdapat dalam karya Yusuf Al-Qardhawi dan Muhammad Al-Ghazali.

Pada tahun 1990-an juga dilihat, wacana intelektualisme Islam di Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada Islamisasi Ilmu namun ia menumpukan juga dalam menghubungkan Islam dengan agama-agama lain khususnya dalam konteks pluralisme masyarakat Malaysia. Wacana tersebut sudah mula menggunakan pendekatan dialog antara peradaban. Wacana Islam-Confucious diadakan setiap kali dan wacana yang melibatkan tesis Samuel Huntington mengenai pembenturan antara peradaban mewarnai wacana Islam-Barat di Malaysia. Penggalian aspek perbendaharaan klasik dari Tamadun Timur, khususnya China, menunjukkan benturan di antara Islam-Cina yang relevan dengan konteks kemajmukan masyarakat Malaysia.

Awal abad ke-21 menunjukkan wacana intelektualisme Islam lebih cenderung kea rah pembangunan dan pengisian Islam Hadhari yang digagaskan oleh mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dengan itu, pengisian ini diterbitkan melalui buku bagi menyampaikan dan bertemakan ideologi Islam Hadhari melalui terbitan JAKIM dan IKIM dan juga penerbitan buku-buku lebih kepada berunsurkan motivasi Islam. Karya “La Tahzan” atau “Jangan Bersedih” yang dikarangkan oleh Dr. Aidh Abdullah Qarni diterjemah ke dalam Bahasa Melayu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan. Walaupun buku ini tidak mencorak wacana yang tinggi tetapi tulisan buku ini yang bersahaja menarik perhatian pembaca.

*************
SUMBER : 

1) Perbukuan Islam Dan Kecenderungan Intelektual Di Malaysia, Dunia Pemikiran Intelektual : Menelusuri Karya-Karya Intelektual Terpilih.

Monday, November 17, 2014

ULASAN KARYA : ANTARA HUNTINGTON DAN FUKUYAMA



Pergaduhan, perbalahan, pertikaian dan konflik di dunia zaman kini semakin lama semakin meruncing dengan berlaku konflik agama, budaya, etnik, ideologi dan sebagainya. 13 tahun yang lepas iaitu 11 September 2001 berlakunya peristiwa yang besar yang menggegarkan dunia iaitu peristiwa keruntuhan bangunan WTC yang berlaku di Amerika Syarikat. Sejarah manusia kini semakin kabur visinya pada masa depan iaitu mencapai keamanan sejagat. Akibat daripada perkara ini, ramai manusia mula menilai tesis Samuel Huntington dalam karyanya iaitu “The Clash of Civilisation” dan tesis Francis Fukuyama iaitu “The End of History”.

Huntington berhipotesis bahawa konflik yang berlaku di dunia bukanlah disebabkan perbezaan dan percanggahan ideologi ataupun masalah kekurangan sumber ekonomi. Namun, bagi Huntington, konflik ini berlaku disebabkan konflik peradaban di antara bangsa-bangsa yang ada di dunia ini.  Oleh sebab itu, cabaran bagi penggubal dasar di Barat cuba memastikan bahawa Barat menjadi semakin kuat manakala selainnya, khususnya, Islam menjadi lemah.

Namun begitu, Edward Said di dalam catatannya iaitu “The Nation” di dalam tajuk “Clash of Ignorance” mengkritik pandangan Huntington dan mengatakan bahawa Huntington sebagai seorang “ideologist”. Bagi Said, “Clash of Civilisation” yang dibentangkan oleh Huntington hanyalah sekadar “gimik” seperti “Perang Dunia”. Bagi Said, tesis Huntington itu menjadi alat untuk menegakkan kebangga diri secara defensive daripada memahami secara kritis mengenai kebergantungan antara umat manusia pada zaman ini.

Namun begitu, Francis Fukuyama dengan yakin mengatakan bahawa kemajuan manusia menuju kemodenan melalui institusi-institusi seperti demokrasi liberal dan kapitalisme. Menurut Fukuyama, satu-satu sistem yang mampu mendominasi politik dunia pada zaman kini ialah Barat yang demokratik liberal. Namun begitu, ia tidaklah bermakna dunia ini sunyi daripada konflik. Menurut Fukuyama lagi, konflik di dunia ini berlaku bukanlah kerana negara mempunyai kebudayaan yang sama tetapi berlaku atas kerana negara atau masyarakat yang mengekalkan nilai tradisi dan kebudayaan yang berbeza dan tersendiri dimana mereka berasa terancam disebabkan arus modenisasi yang dibawa oleh Barat.

Dalam perkara ini, Karen Armstrong berpendapat bahawa mana-mana arus modenisasi yang berlaku di mana-mana negara ataupun masyarakat, maka wujudlah gerakan fundamentalist yang berkembang bagi menghalang unsur modenisasi yang menyerap masuk ke dalam negara mereka dan mereka ini dianggap sebagai watak antagonis di dalam proses modenisasi. Karen Armstrong juga mengatakan bahawa situasi ini berlaku berlaku bukanlah di dalam dunia Islam sahaja tetapi berlaku juga di dalam dunia Kristian dan Yahudi di mana arus sekularisasi dan modenisasi hadir untuk cuba menghapuskan nilai-nilai agama di dalam diri mereka.

Namun sebuah persoalan mula timbul oleh Huntington.

“Adakah institusi modenisme yang berfungsi dengan baik di Barat mampu juga berfungsi dengan baik di negara bukan Barat?”

Fukuyama meyakini potensi ini boleh berlaku. Beliau mengambil contoh seperti negara di Asia Selatan, Amerika Latin, Asia Timur dan Eropah Ortodoks yang mengamalkan sistem demokrasi dan pasaran bebas. Di samping itu juga, jutaan imigran dari Dunia Ketiga yang bermigrasi ke Eropah dan Amerika Syarikat dan cuba untuk mengasimilasi dengan nilai-nilai Barat menurut Fukuyama. Namun demikian, beliau meragui kecenderungan tersebut berlaku dalam Dunia Ketiga. Bagi beliau, dalam semua sistem peradaban kontemporari, Dunia Islam hanya memiliki sedikit sahaja “negara demokrasi” dan tidak ada negara yang “berpindah” daripada Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama seperti Korea Selatan dan Singapura.

Di dalam kes Korea Selatan dan China, pencapaian negara tersebut dicapai tanpa menerapkan politik demokrasi dan nilai-nilai Barat tetapi sebaliknya memahami modenisasi ini melalui cara dan nilai mereka.  Fakta ini memperlihatkan bahawa terdapat cara yang lain bagi mencapai modenisasi tanpa melalui saranan yang dianjurkan oleh Barat.

Oleh sebab itu, Fukuyama mengatakan bahawa sejarah manusia akan menemukan dengan caranya yang tersendiri dan memerlukan satu atau dua abad untuk mencapainya. Amerika Syarikat pun memerlukan 200 tahun untuk mencapai sebuah negara moden yang unggul dan menjadi contoh sempurna kepada modernisme.

Bangsa-bangsa lain di dunia ini cuba menjejakkan kaki ke arah tersebut. Malah berkemungkinan apabila negara-negara lain mencapai ke arah tersebut, Amerika Syarikat sudah mencapai titik akhir dan mengalami kemunduran. Itulah sejarah “alamiah” yang berlaku yang tidak tahu bilakah atau apakah mungkin akan berlaku.

***********
SUMBER :

1) Antara Tesis Huntington Dan Tesis Fukuyama, Dunia Pemikiran Intelektul : Menelusuri Karya-Karya Intelektual Terpilih.