Pergaduhan,
perbalahan, pertikaian dan konflik di dunia zaman kini semakin lama semakin
meruncing dengan berlaku konflik agama, budaya, etnik, ideologi dan sebagainya.
13 tahun yang lepas iaitu 11 September 2001 berlakunya peristiwa yang besar
yang menggegarkan dunia iaitu peristiwa keruntuhan bangunan WTC yang berlaku di
Amerika Syarikat. Sejarah manusia kini semakin kabur visinya pada masa depan
iaitu mencapai keamanan sejagat. Akibat daripada perkara ini, ramai manusia
mula menilai tesis Samuel Huntington dalam karyanya iaitu “The Clash of
Civilisation” dan tesis Francis Fukuyama iaitu “The End of History”.
Huntington berhipotesis bahawa
konflik yang berlaku di dunia bukanlah disebabkan perbezaan dan percanggahan
ideologi ataupun masalah kekurangan sumber ekonomi. Namun, bagi Huntington,
konflik ini berlaku disebabkan konflik peradaban di antara bangsa-bangsa yang
ada di dunia ini. Oleh sebab itu,
cabaran bagi penggubal dasar di Barat cuba memastikan bahawa Barat menjadi
semakin kuat manakala selainnya, khususnya, Islam menjadi lemah.
Namun begitu, Edward Said di dalam
catatannya iaitu “The Nation” di dalam tajuk “Clash of Ignorance” mengkritik
pandangan Huntington dan mengatakan bahawa Huntington sebagai seorang
“ideologist”. Bagi Said, “Clash of Civilisation” yang dibentangkan oleh
Huntington hanyalah sekadar “gimik” seperti “Perang Dunia”. Bagi Said, tesis
Huntington itu menjadi alat untuk menegakkan kebangga diri secara defensive
daripada memahami secara kritis mengenai kebergantungan antara umat manusia
pada zaman ini.
Namun begitu, Francis Fukuyama
dengan yakin mengatakan bahawa kemajuan manusia menuju kemodenan melalui
institusi-institusi seperti demokrasi liberal dan kapitalisme. Menurut
Fukuyama, satu-satu sistem yang mampu mendominasi politik dunia pada zaman kini
ialah Barat yang demokratik liberal. Namun begitu, ia tidaklah bermakna dunia
ini sunyi daripada konflik. Menurut Fukuyama lagi, konflik di dunia ini berlaku
bukanlah kerana negara mempunyai kebudayaan yang sama tetapi berlaku atas kerana
negara atau masyarakat yang mengekalkan nilai tradisi dan kebudayaan yang
berbeza dan tersendiri dimana mereka berasa terancam disebabkan arus modenisasi
yang dibawa oleh Barat.
Dalam perkara ini, Karen Armstrong
berpendapat bahawa mana-mana arus modenisasi yang berlaku di mana-mana negara
ataupun masyarakat, maka wujudlah gerakan fundamentalist yang berkembang bagi
menghalang unsur modenisasi yang menyerap masuk ke dalam negara mereka dan
mereka ini dianggap sebagai watak antagonis di dalam proses modenisasi. Karen
Armstrong juga mengatakan bahawa situasi ini berlaku berlaku bukanlah di dalam
dunia Islam sahaja tetapi berlaku juga di dalam dunia Kristian dan Yahudi di
mana arus sekularisasi dan modenisasi hadir untuk cuba menghapuskan nilai-nilai
agama di dalam diri mereka.
Namun sebuah persoalan mula timbul
oleh Huntington.
“Adakah
institusi modenisme yang berfungsi dengan baik di Barat mampu juga berfungsi
dengan baik di negara bukan Barat?”
Fukuyama meyakini potensi ini boleh
berlaku. Beliau mengambil contoh seperti negara di Asia Selatan, Amerika Latin,
Asia Timur dan Eropah Ortodoks yang mengamalkan sistem demokrasi dan pasaran
bebas. Di samping itu juga, jutaan imigran dari Dunia Ketiga yang bermigrasi ke
Eropah dan Amerika Syarikat dan cuba untuk mengasimilasi dengan nilai-nilai
Barat menurut Fukuyama. Namun demikian, beliau meragui kecenderungan tersebut
berlaku dalam Dunia Ketiga. Bagi beliau, dalam semua sistem peradaban
kontemporari, Dunia Islam hanya memiliki sedikit sahaja “negara demokrasi” dan
tidak ada negara yang “berpindah” daripada Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama
seperti Korea Selatan dan Singapura.
Di dalam kes Korea Selatan dan
China, pencapaian negara tersebut dicapai tanpa menerapkan politik demokrasi
dan nilai-nilai Barat tetapi sebaliknya memahami modenisasi ini melalui cara
dan nilai mereka. Fakta ini
memperlihatkan bahawa terdapat cara yang lain bagi mencapai modenisasi tanpa
melalui saranan yang dianjurkan oleh Barat.
Oleh sebab itu, Fukuyama mengatakan
bahawa sejarah manusia akan menemukan dengan caranya yang tersendiri dan
memerlukan satu atau dua abad untuk mencapainya. Amerika Syarikat pun
memerlukan 200 tahun untuk mencapai sebuah negara moden yang unggul dan menjadi
contoh sempurna kepada modernisme.
Bangsa-bangsa lain di dunia ini cuba
menjejakkan kaki ke arah tersebut. Malah berkemungkinan apabila negara-negara
lain mencapai ke arah tersebut, Amerika Syarikat sudah mencapai titik akhir dan
mengalami kemunduran. Itulah sejarah “alamiah” yang berlaku yang tidak tahu
bilakah atau apakah mungkin akan berlaku.
***********
***********
SUMBER :
1) Antara Tesis
Huntington Dan Tesis Fukuyama, Dunia Pemikiran Intelektul : Menelusuri
Karya-Karya Intelektual Terpilih.
