Kecenderungan wacana intelektual di Malaysia lebih tertumpu kepada sumber penulisan dari Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Inggeris. Pandangan ini menunjukkan perkembangan wacana di Malaysia didasari dengan bentuk wacana yang mempunyai kaitan bersama penerbitan buku Islam. Dalam wacana tertenut, seperti Islam Hadhari, walaupun ia hanya tertumpu kepada local namun ia berpaksikan dari Timur Tengah pada asalnya. Tidak banyak wacana intelektual Islam yang menumpukan sumber penulisan yang beraliran bukan ‘mainstream’ seperti tradisi Islam Perancis dan Iran. Hal ini demikian kerana berkemungkinan faktor bahasa yang menjadikan ia tidak berkembang di Malaysia walaupun karya-karya sebegini sudah banyak diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dan Indonesia.
Tradisi Islam di Perancis dan Iran mempunyai sejarah tradisi intelektual yang menyerlah dan hebat. Seperti contoh, tradisi intelektual di Perancis jauh lebih menyerlah berbanding tradisi intelektual Amerika Syarikat dan Inggeris. Tradisi intelektual Perancis melahirkan ramai pemikir-pemikir yang berpengaruh yang masih boleh dirasai sehingga kini dan dijadikan sebagai rujukan. Antaranya ialah Henry Bergson, Telhard De Chardin, Jean Paul Sartre, Michael Foccault, Jacques Derrida, dan Jean Francois Lyotard. Daripada tradisi intelektual Perancis, lahirlah pemikir-pemikir Muslim yang hebat seperti Malek Bennabi, Ali Syari’ati, Hassan Hanafi dan Mohammad Arkoun. Malah orientalist yang bersimpati dengan Islam juga ada yang muncul daripada tradisi intelektual Perancis seperti Louis Massignon dan Henry Corbin. Walaupun karya-karya mereka diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris namun tidak ada karya mereka diterjemah dalam Bahasa Melayu tetapi lebih kepada Bahasa Indonesia
Pemikiran seperti Mohammed Arkoun, Hassan Hanafi, Muhammad Baqir Sadr, dan Murtadha Mutahhari daripada tradisi intelektual Islam Perancis dan Iran kerap diwacanakan di Indonesia. Buku-buku mereka mendapat sambutan hangat dan sering menjadi “best-seller” di pasaran. Tradisi intelektual Islam Iran atau Parsi mempunyai sejarah keilmuan yang bernilai dan cemerlang. Dari konteks sejarahnya, tradisi intelektual Parsi atau Iran memberi penghargaan yang tinggi kepada pengajian ilmu falsafah sama ada “Islamik” atau sebaliknya. Di Malaysia, pemikiran Ali Syari’ati dan Seyyed Hossein Nasr agak dikenali oleh kerana terjemahan karyanya namun pemikiran Murtadha Mutahhari, Muhammad Baqir Sadr dan Muhammad Taqi Misbah masih lagi janggal dan asing seperti karya Muhammad Taqi Misbah, Falsafatuna, ataupun karya Murtadha Mutahhari, Pengantar Logik. Kita akan terpegun dengan pemikiran-pemikiran ini lahir dari tangan golongan ‘Ayatullah’ yang secaranya tradisinya mereka ini adalah golongan ulama. Mereka membincangkan ekonomi dan falsafah pada peringkat yang tinggi. Mantan presiden Iran, Muhammad Khatami, banyak menulis karya berbentuk falsafah dan dialog antara peradaban. Itu belum lagi dilihat karya ulama klasik mereka seperti Mulla Sadra, Mir Damad, dan Al-Amuli yang menulis berjilid-jilid buku. Di Iran, tradisi keilmuan dijaga dan dipelihara dengan rapi., kitab-kitab lama diajar dan dikaji malah dikritik khususnya di institusi pengajian tradisional. Kritikan-kritikan itu lahir daripada pemikiran baharu dimana pemikiran ini bukan di”import” dari luar tetapi hadir daripada penolakan tradisi itu juga.
Penulis buku ini percaya bahawa keterbukaan kepada kepelbagaian tradisi intelektual, khususnya sumber-sumber literature Islam mampu memperkayakan wacana intelektualisme Islam di Malaysia. Sekiranya dapat diperbanyak pernerbitan buku yang lebih ke arah intelektual sebegini, khususnya dari kegiatan penterjemahan yang mampu memberi kesan kepada pembaca menjadi lebih terbuka, menyanjung kebenaran ilmu, menghormati perbezaan pendapat dan tidak cenderung ke arah mana-mana sektarian.
Penerbitan buku-buku Islam di Malaysia perlulah ditingkatkan kepada kepelbagaian wacana pemikiran masyarakat Muslim. Kita perlulah didedahkan dengan buku-buku yang mencabar dan meningkatkan mutu pemikiran. Hal ini demikian kerana, Islam secara tabiinya berasaskan ilmu dengan kapasiti yang luas. Walaupun Islam boleh difahami dengan mudah selaras dengan keupayaan penaakulan akal yang terbatas yang dimiliki oleh sesetengah individu. Namun Islam menuntut supaya menerima ilmu dengan penuh berlapang dada seluas-luasnya dan sedalam-dalamnya mengikut kemampuan seseorang manusia tersebut.
**************
SUMBER :
1) Sejauhmanakah Keterbukaan Wacana Intelektual Islam Di Malaysia, Perbukuan Islam Dan Kecenderungan Intelektualisme Di Malaysia, Dunia Pemikiran Intelektual : Menelusuri Karya-Karya Intelektual Terpilih.