Alhamdulillah selesai sudah
wacana akademik yang dibentangkan oleh Dr. Mohd Faizal Musa ataupun dikenali
sebagai “Faisal Tehrani” yang merupakan nama penanya dan terkenal dalam dunia
penulisan kreatif dan seorang novelis. Beliau membentangkan sebuah isu yang
hangat diperbincangkan kini di Malaysia yang bertajuk “Hak Asasi Manusia –
Cabaran Pelaksanaan Di Alam Melayu” yang berlangsung di Bilik Majlis, Canselori
UKM pada 2 Julai 2015.
Perbincangan mengenai hak asasi
manusia di Alam Melayu ini khususnya di Malaysia masih lagi hijau dan baru pada
pandangan masyarakat walaupun isu hak asasi manusia telah timbul secara tidak
langsung pada zaman sebelum kemerdekaan lagi. Isu hak asasi manusia yang
berlaku di Malaysia masih lagi disalahertikan dan kurang difahami oleh
masyarakat Malaysia.
Sebelum pembentang membentangkan
tajuk ini, pembentang memperkenalkan buku karya beliau yang bertajuk “Bagaimana
Anyss Naik Ke Langit” yang mengisahkan kaum Penan yang menetap di kawasan
pedalamanan Sarawak dihalau bagi tujuan pembalakan dan wanita Penan diperkosa
di hutan. Begitu juga, Faisal Tehrani bersama kerjasama Amin Landak akan
melancarkan sebuah buku yang bertajuk “Advancer Fufu Dan Yaya” yang
akandilancarkan Pesta Buku Frankfurt pada Oktober akan datang. Buku ini
kelihatannya lebih kepada komik kanak-kanak yang menceritakan mengenai hak
asasi manusia.
Salah satu pertanyaan yang sering
ditimbulkan dalam pelaksanaan hak asasi manusia adalah apakah itu hak asasi
manusia, apakah hak asasi manusia bagi melayu itu sendiri, dan apakah teks tradisional Melayu yang membicarakan hak
asasi manusia.
Kontroversi hak asasi manusia di
Malaysia kelihatannya sangat sengit oleh kerana terdapat segelintir pihak yang
menyatakan dan memomokkan bahawa hak asasi manusia ini adalah produk daripada
Barat yang bukan lahir daripada Melayu dan Islam yang dikatakan boleh
menjejaskan akidah dan umat Islam. Perkara ini dinyatakan Tun Mahathir pada
tahun 1997 dimana beliau mempertikaikakan hak UDHR (United Nation Declaration of Human Right 1948) sebagai
“Un-Asian”. Pada tahun 2013, wacana “Un-Asian” telah beralih kepada tidak cukup
“Islam” sehingga isu dimomokkan dibawakan kepada mimbar khutbah Jumaat. Maka
timbullah kesan terhadap rakyat dimana apabila dibincangkan mengenai hak asasi
manusia maka yang timbul dari kepala rakyat adalah isu LGBT.
Walaupun begitu, tidak ramai yang
mengetahui pada ketika UDHR 1948 itu diwujudkan, negara Arab Saudi dan Afrika
Selatan sudahpun wujud dan mereka telah mengundi untuk menerima penggubalan
UDHR 1948. Begitu juga terdapat suara-suara daripada Timur menyatakan
persetujuan mengenai penggubalan UDHR 1948 seperti China dan Pakistan. Namun
begitu, apakah yang dimaksudkan dengan Hak Asasi Manusia Moden yang berkait
dengan UDHR 1948 sebenarnya?
Rene Cassin, salah seorang
penggubal UDHR 1948, telah mengenalpasti empat tunjang dalam hak asasi manusia
iaitu yang pertama adalah:
1) Kehormatan
2) Kemerdekaan
3) Kesetaraan
4) Persaudaraan
UDHR 1948 ini diterima oleh semua anggota PBB pada tahun
1948 dan seterusnya.
UDHR 1948 ini terdiri daripada 4
rukun yang dipecahkan kepada 27 artikel di mana bumbungnya adalah artikel 28
hingga 30 iaitu “rights of individual, rights with the society and the state”.
Rukun yang pertama yang meliputi
artikel 1 dan 2 menyatakan “human dignity shared by all individual without sex,
ethnicity and religion.” Di sini bermaksud bahawa manusia mempunyai kesetaraan.
Kesetaraan ini sering salahertikan dengan kesamaan dimana sebenarnya pihak hak
asasi manusia ingin mengiktiraf perbezaan yang terdapat di dalam manusia iaitu
perbezaan jantina, etnik dan agama. Ia bukanlah bermaksud pihak hak asasi
manusia meletakkan wanita dan lelaki pada kedudukan yang sama sebagai
contohnya.
Rukun yang kedua yang meliputi
artikel 3 hingga 19 menyatakan “civil liberty”. Pihak hak asasi manusia
menamakan rukun kedua in sebagai “first generation human rights”.
Rukun yang ketiga iaitu artikel
20 hingga 26 menekankan aspek kesetaraan politik, ekonomi dan sosial yang
dijuarai ketika zaman revolusi industri. Rukun ketiga ini dinamakan sebagai
“second generation of human rights”.
Rukun keempat iaitu artikel 27
dan 28 dijelmakan apabila melihat penjajahan dan penaklukan colonial di negara
Timur dan Selatan. Rukun ini digelarkan sebagai “third generation human rights”
Terdapat cara yang lain melihat
hak asasi manusia ini iaitu dalam bentuk:
1) Negative Human Rights
2) Positif Human Rights
3) Collective Human Rights
Negative Human Rights berteraskan
Anglo-American Legal Tradition yang pernah tumbuh sekejap di Amerika dimana
konsepnya adalah negara tidak boleh mencampuri urusan warganya. Hal itu
memberikannya kebebasan agama dan kebebasan orientasi seksual kepada
warganegaranya.
Positive Human Rights berteraskan
Rousseauian Continental European Legal Tradition dimana konsepnya negara
memberi dan membekalkan seperti pendidikan percuma dan kebebasan bersuara.
Pembentang menunjukkan contoh dimana negara di Eropah khususnya di Scandinavia
memberikan rumah kediaman secara percuma.
Collective Human Rights pula
kurang dibangunkan seperti contoh penyatuan dalam penentangan “terrorism”,
wabak HIV/AIDS, isu pemanasan global dan keganasan. Maka disini dapat
dimaksudkan bahawa collective human rights ini bersifat global dan boleh
mengakibatkan penglibatan sesuatu perkara daripada pelbagai negara untuk
mengatasinya.
Seterusnya, pembentangan
membentangkan “timeline” sejarah yang mendorong kepada membentukkan UDHR 1948
dan asas di dalam pembentukan UDHR 1948:
1) Religious concept
2) Philosophical Exploration
3) Magna Carta 1215
4) Natural Law, Thomas Hobbes dan
John Locke
5) French Revolution 1789/ US
Declaration of Independence – US Constitution
6) Industrialization & Opposition
to exploitation of labour by the socialist/communist
7) World War 1 dan 2
8) United Nation 1945
9) UDHR 1948
Terdapat juga permasalahan yang
timbul mengenai hak asasi manusia ini dimana segelintir pihak mengatakan bahawa
ia adalah produk daripada Barat, maka perlunya membina hak asasi manusia yang
berasaskan daripada Timur sendiri. Hal ini berlaku di Cairo Declaration iaitu
umat Islam daripada anggota OIC berkumpul di Kaherah dan merancang menubuhkan
sebuah piagam hak asasi manusia mereka sendiri. Begitu juga pada tahun 2013,
dimana ASEAN juga mempunyai piagam hak asasi manusianya sendiri. Cairo
Declaration dan ASEAN Declaration itu sekiranya dinyatakan timelinenya hanyalah
untuk bertujuan untuk menjawap UDHR 1948.
Perkara yang menyebabkan penentangan
ini berlaku sepertimana yang berlaku pada 2000 tahun dahulu dimana Raja Darius,
daripada Parsi berdepan dengan orang Greek dan India. Kejadian ini berlaku
dimana Raja Darius telah memanggil orang-orang Greek dan bertanyakan upacara
pengebumian mayat iaitu pengubahan pengebumian mayat daripada dibakar kepada
makan mayat itu. Hal ini menimbulkan kemarahan orang Greek kerana pertanyaan
pertukaran cara pengebumian mayat mereka yang berteraskan kepada membakar
mayat. Begitu juga pertanyaan yang sama diajukan kepada orang India iaitu
pengubahan pengebumian mayat mereka yang memakan mayatnya diubah kepada dibakar
mayat itu. Orang India menolaknya kerana ia dianggap sebagai suatu penghinaan
kepada ajaran mereka. Maka dengan itu, logik bagi Herodotus adalah “each
nation regards its own customs superior.”
Hal ini menyebabkan menimbulkan
kecelaruan dan masalah dimana masing menggunakan adat mereka sendiri dan
pertembungan antara dua adat dan budaya yang berlaku. Maka sekiranya berlakunya
pelbagai hak asasi manusia yang dibuat oleh pelbagai pihak maka ia akan
menyebabkan penyelesaian masalah tidak sampai dipenghujungnya. Oleh kerana itu,
UDHR 1948 ini dibentuk bagi mewujudkan satu set yang standard universal bagi
menentukan hak asasi manusia bagi semua negara.
Terdapat beberapa isu yang
ditimbulkan di dalam UDHR 1948 ini antaranya seperti:
1) Religious concept/Ancient
traditions trying rationalize unequal entitlement for the weak or the inferior.
2) Enlightment failed to fulfill
its own universal Human Rights promises
for example slavery, colonisation, women rights and children rights
3) Socialist-communists
contribution to Human Rights shadowed by atrocities commited by communist
regime in the name of Human Rights.
4) Ignorance of the Western roots
of third generations of Human Rights
Setelah pembentang telah
membentangkan serba sedikit asas-asas di dalam UDHR 1948 dan hak asasi manusia.
Pembentang memasuki lebih dalam lagi iaitu cabaran pelaksanaannya di Alam
Melayu ini. Pembentang sendiri mengakui bahawa agak sukar untuk menggali secara
mendalam dan rumit dalam penyelongkaran teks-teks tradisional Melayu yang dalam
membicarakan hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, terdapat juga unsur-unsur
hak asasi manusia yang boleh dilihat di dalam teks tradisional Melayu.
Sepertimana diketahui bahawa
Melayu ini mempunyai hubungan yang sinonim dengan Islam sehingga menjadi sebati
di dalam diri orang Melayu itu. Sepertimana diketahui umum bahawa Islam
merupakan sebuah agama yang mementingkan keadilan sosial, menunjukkan akhlak yang
sempurna dan mengajak kepada kemanusiaan. Keempat-empat tunjang yang diusulkan
oleh Rene Cassin dalam menentukan hak asasi manusia 1948 seperti yang
disebutkan sebelum ini juga terdapat di dalam Islam. Di dalam Al-Quran terdapat
banyak ayat yang membicarakan hak asasi manusia, dan oleh kerana kekurangan
ruang, pembentang menunjukkan salah satu ayat di dalam Al-Quran iaitu Surah
An-Nisa ayat 135:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau
ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau
miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan
kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa
kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak
menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun
enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Terdapat juga hadith Rasulullah S.A.W. yang menekankan
mengenai keadilan iaitu di dalam Hadith 40 karya Imam Nawawi iaitu di dalam
Hadith ke-13:
“Daripada
Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW,
Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia
mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”
( Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)
Pembentang
juga memetik kata daripada petikan surat Saidina Ali kepada Malik Asytar iaitu:
“Manusia
itu sesungguhnya hanya satu di antara dua saudara melalui agama atau makhluk
Tuhan sepertinya.”
Kemudian,
Saidina Ali menyeru kepada Malik Asytar untuk memperlakukan manusia
sebaik-baiknya.
Pembentang juga memaklumkan bahawa pengkajian pembentang banyak
menggunakan kerangka aplikasi Syed Husien al-Attas. Pembentang menyatakan
bahawa Syed Husien al-Attas ada juga membicarakan hak asasi manusia walaupun
beliau tidak menceritakan secara langsung dan serius dalam menekankan hak asasi
manusia. Syed Husien al-Attas telah menggunakan perkataan dan konsep lain yang
melambangkan hak asasi manusia. Terdapat karya Syed Husien al-Attas
membicarakan mengenai hak asasi manusia secara langsung atau tidak langsung
antaranya yang terkenal adalah “Cita Sempurna,Cita Bencana”
Beliau mendefinisikan cita sempurna sebagai satu pandangan hidup
yang menyeluruh untuk mencapai masyarakat yang sempurna. Cita sempurna ini
perlu disusun berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan. Cita sempurna kelihatannya
selari dengan ajaran agama yang dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam
melaksanakan keadilan sosial.
Cita bencana adalah pertentangan daripada cita sempurna dan Syed
Husien al-Attas telah memecahkan cita bencana kepada tiga bahagian iaitu
jenayah, penyalahgunaan dadah, perjudian dan ketagihan alkohol, dan yang
terakhir (tidak jelas suara pembentang ketika menceritakan yang ketiga ini dan
ketidaksempatan mencatatnya).
Al-Attas menumpukan kepada istilah pemimpin “jadong” yang
merupakan akronim kepada “jahat,bodoh dan sombong”. Pemimpin jadong merujuk
kepada golongan penguasa yang menceroboh ke atas cita sempurna. Di samping itu
juga pembentang juga menggariskan selain pemimpin jadong, terdapat perkara lain
iaitu emosi, tidak menolak ke arah cita bencana.
Selepas pembentang selesai membentang mengenai kerangka
al-Attas, pembentang memaklumkan apakah perkara yang menyebabkan cabaran hak
asasi di Malaysia ini menjadi sukar dilakukan. Pembentang memetik kisah Munshi
Abdullah daripada Kisah Pelayaran Abdullah mengenai kisah beliau ke Pahang dan
mendokumentasikan bahawa keganasan raja Melayu yang dilakukan pada ketika itu,
perang saudara yang tidak membawa apa-apa makna, pelacuran dan perhambaan. Dan
juga terdapat sebuah kisah menceritakan seorang rakyat Kelantan telah datang
kepada beliau dan menceritakan keadaannya yang daif dan tiada mempunyai hak
pemilikan harta dan hak berkeluarga. Sehinggakan rakyat tersebut merayu untuk
membawakan mereka ke Singapura oleh kerana disini penjagaan hak mereka lebih
terjamin.
Di samping itu juga, nasib
murbawan tidak dibela oleh pihak pemerintah. Apa yang dilihat disini adalah
gejala daripada feudalisme. Gejala kejadongan juga berlaku dalam kalangan ulama
di mana golongan ulama mempunyai kuasa menginterpretasikan agama supaya
mengikut kehendak kerajaan dan mengukuhkan kuasa raja-raja. Pembentang juga ada
mengataka apabila Islam mula bertapak di Melaka menurut teks tradisional,
perkara pertama yang diajarkan selepas syahadah adalah bersolat. Mungkin pada
penghematan saya, saya melihatnya sebagai pengajaran dalam perkara yang tidak
melibatkan keadilan sosial sepertimana Islam ajarkan. Oleh kerana perkara
melibatkan keadilan sosial tidak diterapkan secara serius menyebabkan kefahaman
mengenai hak sosial itu disalahertikan. Sungguh mendukacitakan apabila
digalikan teks tradisional kebanyakannya menceritakan sebaliknya mengenai hak
asasi manusia
Namun begitu, terdapat juga
sebuah pemberontakan ataupun boleh dilihat sebagai revolusi dalam menegakkan
hak asasi manusia sepertimana dilihat di dalam hikayat Tuhfat al-Nafis dimana
Sultan Mahmud dibunuh ataupun riwayat terkenal iaitu “Sultan Mahmud Mangkat
Dijulang”.
Apabila pembentang menggali
kamus-kamus bahasa oleh orientalis seperti William Marsden dan Wilkinson,
pembentang mendapati bahawa terdapat perkataan-perkataan yang mempunyai konsep
yang sama dengan hak asasi manusia. Seperti perkataan “tara” yang diterjemahkan
oleh Marsden sebagai “Equal” dengan menggunakan contoh ayat iaitu “tiada
taranya pada zaman itu” dan juga beliau memetik ayat daripada orang Melayu di
Sumatera iaitu “samataranya kedudukannya”. Sekiranya dilihat ayat ini, ayat ini
telah menunjukkan konsep “equality” atau kesetaraan yang muncul pada ketika itu.
Begitu juga perkataan “tiada dengan haknya” yang diterjemahkan oleh Marsden
sebagai “unjustly” atau “illegally”. Maksud yang sama dengan “tiada dengan
haknya” seperti “aniaya” sudah muncul ketika dan menunjukkan masyarakat pada
ketika itu sudah pun mengetahui mengenai pencabulan hak. Perkataan “adil” juga
ditemui di dalam kamus Marsden dengan memberikan contoh ayat “adil bagi
sekalian orang hitam”. Perkataan “merdeka” yang bererti bebas di dalam kamus
Marsden memberikan contoh ayat iaitu “orang merdeka”.
Begitu juga di dalam kamus bahasa
Wilkinson, terdapat juga banyak perkataan yang melibatkan hak asasi manusia.
Antaranya contoh “gah” yang boleh diterjemahkan oleh beliau sebagai “dignity,
greatness, and pride”. “Bebas” yang membawa maksud “freedom”. Perkataan
kesetaraan pada pengamatan Wilkinson tidaklah digunakan secara langsung namun
mempunyai satu perkataan yang mempunyai konsep yang sama dengan kesetaraan
iaitu “ugahari” oleh orang Melayu pada ketika itu.
Selain daripada pembongkaran kisa
atau riwayat daripada teks tradisional dan kamus bahasa, pembentang juga
menunjukkan beberapa pepatah atau peribahasa Melayu yang mendedahkan konsep hak
asasi manusia. Seperti contoh dalam pepatah orang Minang terdapat juga
peribahasa yang menekankan isu gender dan pepatah orang Naning yang menekankan
isu keadilan. Peribahasa Melayu seperti contoh yang dapat dilihat menunjukkan
hak asasi manusia adalah seperti “Jangan jaga tepi kain orang” dan “kubur
masing-masing punya” melambangkan hak peribadi manusia. Seperti “melentur buluh
biarlah dari rebungnya” menunjukkan maksud hak asasi kepada kanak-kanak. Dan
terdapat-terdapat peribahasa Melayu yang tidak sempat untuk ditulis.
Maka di sini dapatlah dilihat
walaupun secara teks tradisional, kisah-kisah yang berkaitan di dalam karya-karya
ini menunjukkan penafian mengenai hak asasi manusia yang disebabkan gejala
sistem feudalisme dan lain-lain lagi. Namun, perkataan-perkataan yang
melibatkan mengenai hak asasi manusia secara tidak langsung turut terdapat
walaupun ia tidaklah menunjukkan perkataan itu secara terang sepertimana hak
asasi manusia moden kini. Pembentang juga memaklumkan bahawa apabila menyatakan
mengenai hak asasi manusia, ia bukanlah sekadar LGBT dan murtad semata-mata,
perbincangan hak asasi manusia adalah sungguh luas. Maka seperti hasrat Syed
Hussein al-Attas dalam melihat masyarakat ke arah cita sempurna, perlulah
masyarakat itu perlulah menangani masalah sistem feudalisme dan kejadongan
kepimpinan yang boleh mendorong ke arah cita bencana.














