Monday, March 16, 2015

ZENO OF ELEA SECARA SEPINTAS LALU


Zeno, merupakan di antara ahli-ahli falsafah Yunani yang wujud sebelum Socrates, Plato dan Aristotle yang menetap di Elea (kini Velia) yang terletak di Itali pada zaman kini... Di Velia inilah wujudnya sebuah aliran yang bernama Eleatik yang dianggotai oleh Parmenides, Melissus, Xenophanes dan juga Zeno of Elea itu sendiri... Beliau menulis sebuah buku yang bernama "Attacks" yang bertujuan untuk mempertahankan idea Parmenides mengenai Wujud sebagai Satu, tidak boleh dibahagikan dan bersifat kekal... Kaedah yang selalu diamalkan oleh beliau, Reductio Ad Absurdum, adalah dengan cara memetik hujah pihak lawan, kemudiannya mematahkan hujah tersebut dengan menunjukkan hujah tersebut menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang yang bercanggah...

Seperti contoh adalah, pandangan Zeno terhadap benda, benda adalah banyak, kemudiannya menunjukkan benda tersebut mestilah terhad dan tidak terhad... Sekiranya benda tersebut banyak, benda tersebut mestilah ada bilangan; tidak boleh lebih atau kurang. Sekiranya benda itu tidak lebih atau kurang, maka benda tersebut terhad... Selain daripada itu, sekiranya benda itu banyak, benda tersebut mestilah tidak terhad, kerana akan sentiasa terdapat benda lain di antaranya, dan benda lain di antara benda-benda itu tadi dan seterusnya tanpa ada kesudahan...

Jika terdapat banyak benda, benda ini sama ada tanpa saiz atau mempunyai saiz... Sekiranya benda itu tidak mempunyai saiz, maka apabila satu benda yang tidak ada saiz ditambahkan ke benda lain, tidak ada berlaku pertambahan saiz... Sekiranya sesuatu benda itu mempunyai saiz, maka sudah tentu sebahagian daripadanya mempunyai saiz dan bahagian yang mendahuluinya, serta bahagian yang mendahului bahagian yang terdahulu ini, hinggalah seterusnya tanpa ada kesudahan.

Apabila sesuatu benda bergerak, benda itu bukannya berada di tempat ia berada ketika itu dan juga bukannya berada tempat ia tidak berada ketika itu, tetapi mustahil baginya berada di mana-mana satu tempat tersebut...
Apabila sesuatu benda itu berada di suatu tempat, benda tersebut tidak bergerak...

Sekiranya kesemua benda berada di dalam ruang, bermakna ruang sama ada sesuatu atau tiada apa-apa... Jika ruang sesuatu, maka ruang dengan sendirinya di dalam sesuatu, dan sesuatu ini di dalam sesuatu yang lain, dan seterusnya tanpa ada kesudahan.

Zeno juga mengeluarkan hujah yang serupa bagi gerakan... Beliau mengutarakan 4 hujah dalam memberitahukan gerakan...

1) Kita tidak boleh melalui suatu jarak tertentu, kerana untuk melalui jarak tersebut, kita terpaksa sampai ke kedudukan separuh jalan terlebih dahulu, dan kemudian ke kedudukan separuh jalan jarak yang masih tinggal, dan seterusnya tanpa ada kesudahan. Lagi pula, gerakan adalah mustahil untuk melintasi kedudukan-kedudukan tidak terhad dalam masa yang terhad.

2) Sekiranya kura-kura berlepas terlebih dahulu, Achilles tidak akan dapat menghambatnya kerana apabila Achilles telah melalui jarak yang sama, kura-kura tersebut telah bergerak ke hadapan, dan seterusnya tanpa kesudahan.

3) Jika kita memanah ke arah sesuatu sasaran, anak panah tidak akan sampai ke sasaran itu kerana anak panah tersebut terpaksa melalui bilangan kedudukan yang tidak terhad dan perkara ini tidak boleh dilakukan dalam masa yang terhad.

4) Katakanlah terdapat tiga set pepejal yang dilabel sebagai A,B, dan C. A tidak bergerak; B bergerak ke satu arah, dan C bergerak ke arah yang berlawanan pada kelajuan yang sama. Pepejal B dan C akan melintasi satu sama lain dua kali ganda lebih cepat daripada pepejal-pepejal ini melintasi A. Oleh kerana itu, terdapat kelajuan yang sama pada kelajuan yang tidak sama, merupakan suatu hal yang tidak mungkin berlaku.

Dilema Zeno ini telah menyebabkan ahli falsafah pada zamannya kebingungan dan penyelesaian sebenar ini hanya tercapai menerusi perkembangan bidang fizik-matematik pada zaman moden.

*****************
SUMBER :

1) Zeno, Aliran Eleatik, Falsafah Yunani Di Itali Selatan Dan Sicily, Pemikiran Yunani, Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, (Terjemahan : Dewan Bahasa Dan Pustaka), M/s 70-71