Saturday, March 14, 2015
AL-HAYAT AL-DUNYA
Konsep sekular merupakan konsep yang hampir serupa dan dekat dengan konsep di dalam Islam iaitu kehidupan "dunia" (al-hayat al-dunya)... Perkataan 'dunya" diambil daripada perkataan "dana" yang memberi makna iaitu sesuatu yang dibawa dekat... Oleh itu, dunia ini merujuk kepada :
"the world that brought near to the sensible and intelligible experience and consciousness of man"
Maka, dunia yang dilihat ini berdasarkan Islam merupakan sebuah halangan atau gangguan bagi manusia untuk melihat matlamat akhir dimana ia melangkau pemikiran mereka iaitu alam akhirat... Sepertimana dunia ini digambarkan "dekat" bagi kita oleh kerana kita mengalaminya sendiri dengan pancaindera dan akal kita, Akhirat digambarkan "jauh" daripada sudut fikiran dan inderawi kita yang mustahil dapat dilihat melainkan dengan mengimani melalui Al-Quran dan Sunnah... Digambarkan di dalam Al-Quran bahawa kehidupan di alam akhirat adalah lebih baik berbanding kehidupan di dunia di mana ia hanya sekadar sementara dan fana... Sepertimana di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 :
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat"
Walau bagaimanapun, konsep dunia di dalam Islam tidaklah menekankan manusia untuk menyingkirkan terus daripada diri manusia dengan menumpu seratus peratus kepada kehidupan di akhirat... Ia lebih kepada memberi amaran kepada umat manusia dan orang yang beriman supaya tidak terkandas dan terbabas ke dalam kehidupan dunia ini yang berpotensi memesongkan manusia daripada akhirat... Islam tidaklah menafikan kehidupan dunia ini dengan menafikan peranan alam ciptaan Allah swt sepertimana yang dinafikan oleh ajaran sekular...
Disebabkan dunia ini "dekat" dengan kehidupan manusia, maka dunia ini juga mempunyai alam ciptaan Allah swt sebagai 'tanda' (ayat) mengenai kewujudan diri-Nya kepada manusia... Seorang Muslim menjadi bermasalah sekiranya menyingkirkan alam dan dunia yang merupakan sebuah "tanda" daripada Tuhan (Signs of God)... Malah manusia juga bermasalah sekiranya memahami alam dan dunia tidak seperti tujuan penciptaannya iaitu dengan menyembahkan ciptaan Tuhan berbanding Tuhan itu sendiri... Maka dengan itu kehidupan di dunia ini perlulah diselarikan dengan matlamat akhir hidup ini iaitu supaya menuju kejayaan di hari akhirat kelak...
*****************
SUMBER :
1) Secular-Secularization- Secularism, Islam And Secularism, Syed Muhammad Naquib Al-Attas
