Saturday, March 14, 2015

KITA INI SIAPA?


"Banyak rahsia dalam alam ini. Kita tidak tahu, tetapi ingin tahu. Langit lazuardi yang indah berwarna biru, bintang-bintang cakerawala, dengan matahari dan bulannya, angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, nampak semuanya bila kita menengadah ke atas. Kita alihkan pandangan ke bawah nampaklah dunia, lautan dan daratan, gunung-ganang dan padang pasir, hujan turun membasahi bumi, maka hiduplah bumi sesudah matinya; burung-burung terbang dari dahan hinggap ke dahan. demikian juga binatang, margastua yang hidup di dalamnya. Lalu terlibat pula bangsa manusia sendiri, hidup bermasyarakat berpuak-puak, ibu menyusukan anak, ayah mencari makan. Maka terlihat pulalah diri sendiri, dengan keajaiban dan keindahannya. Takjub, hairan, seribu macam atau satu tanda tanya : "Apakah ini? Dari manakah datangnya? Kemanakah kesudahannya?" Rahsia dan penuh rahsia. Bila sedang berfikir hendak menyelidiki, hendak tahu apakah rahsia itu, kembalilah segala tanya yang sulit tadi kepada yang bertanya : "mengapa saya bertanya?" "siapa saya" rahsia. Semua orang ingin memecahkan rahsia-rahsia besar itu. Sebab itulah dapat dipastikan semua orang pada hakikatnya ialah calon filsuf (ahli fikir), meskipun hanya sedikit sekali yang akhirnya jadi filsuf... Setelah puas mencari rahsia itu, barulah timbul seorang filsuf luar biasa, yang tidak lagi hendak menengadah ke atas, tetapi mengajak sesama filsuf mengupas sato soal yang lebih besar dari segala soal itu, iaitu : "Kita ini siapa?"

HAMKA
FALSAFAH HIDUP