Saturday, March 14, 2015
ISTIQAMAH PEMBUDAYAAN ILMU
Masyarakat berbudaya ilmu dalam pelaksanaan kehidupan mereka tidak kira sama ada individu dan masyarakat perlu mengekalkan momentum budaya tersebut agar budaya ini berterusan hingga generasi berikutnya... Budaya ilmu disini adalah kesemua masyarakat tidak kira lapisan mengamalkan tindakan yang berasaskan ilmu pengetahuan... Walaupun wujudnya pembudayaan ilmu dalam masyarakat, sekiranya tidak istiqamah, akan kembali kepada kegelapan jahiliyah sepertimana yang terakam di dalam sejarah tamadun-tamadun terdahulu... Oleh itu, perlulah kita mewujudkan nilai-nilai bagi membentuk budaya ilmu yang konsisten...
Ilmu pengetahuan perlulah diletakkan sebagai kebaikan utama dan asas dalam menilai kebaikan... Di dalam pelaksanaan keputusan, dasar dan perundangan perlulah merujuk kepada ilmu pengetahuan... Bukanlah berdasarkan taqlid yang tidak diketahui dari mana asasnya muncul dan emosi bagi memuaskan hati nafsu peribadi yang memberikan kezaliman kepada beberapa pihak... Penilaian sesuatu kebaikan itu perlulah berlandaskan ilmu kerana "kebaikan" berkemungkinan kelihatannya seperti baik untuk masyarakat secara zahirnya sekiranya tidak diselidiki dahulu "kebaikan" tersebut yang mungkin memberi kemudaratan kepada orang lain... Tanpa ilmu, "kebaikan" itu sudah tentu disalahgunakan dan menjadi suatu kezaliman kepada masyarakat oleh kerana ketiadaan ilmu dalam diri masyarakat untuk mengetahui sesebuah perkara...
Maka di sini, Ilmu sebagai kebaikan utama diiringi dengan kebencian terhadap kejahilan, bebal dan kepalsuan... Kerana sifat jahil ini membuatkan masyarakat akan bertindak tidak sepatutnya, menzalimi orang lain dan memusnahkan masyarakat itu sendiri... Sifat anti-jahil perlu diterapkan dengan sebaiknya supaya tindakan individu dan masyarakat perlu diasaskan dengan ilmu kerana lawan bagi jahil adalah berilmu...
Penerapan ilmu dalam mewujudkan budaya ilmu yang konkrit perlulah dimulakan dengan pendidikan... Matlamat pendidikan itu perlulah mengangkat ilmu ke tempat yang tinggi dan mulia dan perlu berpaksikan kepada Pencipta sepertimana di dalam pandangan alam (Welstanschauung) Islam... Bukanlah menjadikan ilmu itu hanya sekadar alat untuk mencari kepentingan kuasa, nama atau harta... Dan bukanlah ilmu itu dijadikan sebagai sumber tenaga bagi melahirkan pekerja yang berkualiti... Pengajian ilmu yang hanya semata-mata untuk ganjaran harta adalah suatu yang merugikan kerana pembaziran masa dan tenaga walhal terdapat jalan yang lebih mudah untuk mendapatkan harta seperti berdamping bersama penguasa dan berniaga... Ibn Hazm menyatakan :
"Menuntut ilmu dengan tujuan mengumpul harta adalah cita-cita yang sangat sempit kerana harta dapat diperoleh dengan lebih mudah dan cepat daripada (memperolehnya) melalui peningkatan ilmu, iaitu dengan menyertai orang yang berkuasa atau dengan melibatkan diri dalam urusan hartanah atau perniagaan. Malah, seorang yang jahil lebih berjaya dalam urusan tersebut berbanding dengan seorang ilmuwan. Jika inilah keadaannya, menuntut ilmu untuk mendapatkan kekayaan adalah rumit dan berbahaya oleh kerana si penuntut akan menambah dua keaiban besar : Pertama dia telah meninggalkan jalan yang lebih dekat dan lebih mudah bagi mencapai cita-cita dan tujuannya dengan memilih jalan yang lebih berduri yang melibatkan usaha lebih dan kurang manfaatnya (untuk tujuannya); kedua dia telah menggunakan perkara tertinggi (iaitu ilmu, penulis) yang membezakannya daripada reptilia dan haiwan bagi memperoleh batu-batu yang dia tidak tahu bila batu-batu ini akan meninggalkannya dan sebaliknya.... Manfaat menuntut ilmu untuk kegunaan duniawi hanya sedikit, dan pada keseluruhannya, mempunyai keuntungan kecil.... Hakikatnya, seseorang yang memperoleh ilmu yang tinggi dan memperalatkannya untuk kekayaan dan tidak untuk tujuan sebenarnya akan mengalami penyakit (kerohanian) yang tidak terubat, keburukan sepenuhnya dan kerugian yang menghancurkan."
Pendidikan yang bermatlamatkan keilmuan bukanlah sepertimana yang difikirkan pada zaman kini iaitu dalam bentuk yang formal seperti meletakkan pengajaran ilmu hanya di institusi seperti sekolah, kolej, dan universiti... Pengkelasan ilmu dengan meletakkan pendidikan formal sahaja dikatakan berilmu adalah suatu konsep yang sempit... Seharusnya pendidikan informal dan non-formal perlu juga diletakkan seiring bersama pendidikan formal kerana adakalanya pendidikan,seperti contoh, informal yang berlandaskan pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan perbualan lebih banyak berbanding pendidikan formal... Maka pembudayaan ilmu itu tidaklah terbantut setelah selesai sahaja menghabiskan pelajaran di institusi pengajian namun berterusan sehingga ke liang lahad...
Pengiktirafan terhadap golongan ilmuwan dan ahli fikir perlu diletakkan pada tempatnya di dalam meneruskan pembudayaan ilmu dalam masyarakat... Di mana mereka ini merupakan rujukan bagi masyarakat bagi memberi pandangan dan ulasan terhadap perkara-perkara berbangkit... Namun perlu juga diketahui, apabila disebut mengenai "ilmuwan" atau "ahli fikir" bukanlah hanya tertumpu kepada golongan akademik, cendekiawan, ustaz-ustaz mahupun profesor... Tetapi kepada semua golongan dalam semua lapisan masyarakat yang mempunyai kemahiran dan kepakaran bidang masing-masing... Sepertimana Ibn Sina pernah mempelajari Matematik daripada peniaga sayur-sayuran...
Pada zaman pertengahan Islam dahulu, institut pengajian ilmu tidaklah tertumpu di masjid dan universiti... Malah madrasah, pasar, hospital, zawiyah, dan perpustakaan... Disebabkan institut dan tempat yang pelbagai ini, pengembangan ilmu menjadi lebih cepat dan menghasilkan masyarakat yang berilmu... Masyarakat tidak perlu mencari-cari jawapan yang diinginkan dan berjalan jauh oleh kerana kehidupan masyarakat berilmu berlaku di sekeliling... Pendidikan formal, informal dan non-formal tidak wujud pada zaman ketika itu... Disebabkan ilmu merupakan satu kewajipan yang penting dalam Islam, pendidikan yang berlaku pada ketika muncul di merata tempat... Hatta Imam Abu Hanifah yang merupakan seorang peniaga kain kerap kali berbincang mengenai perundangan di dalam kedainya...
Maka perlulah di sini kita melihat bahawa bagi menjayakan budaya ilmu dalam masyarakat, perlulah masyarakat tersebut meletakkan ilmu sebagai sebuah kemuncak di dalam pelaksanaan... Kerana ketiadaan ilmu dalam melaksanakan tindakan ibarat membina bangunan di atas pasir yang akhirnya hanyut sekiranya berlaku hujan...
**************************
SUMBER :
1) Budaya Ilmu : Satu Penjelasan, Wan Mohd Nor Wan Daud
