Saturday, March 14, 2015
DISENCHANTMENT OF NATURE
Penyingkiran dan pemisahan alam daripada manusia telah membuatkan nilai terhadap alam direndah-rendahkan dan tidak mempunyai apa-apa manfaat kepada manusia pada kaca mata sekular Barat... Malah, alam pada mereka ini hanya sekadar "bahan" yang digunapakai untuk kehidupan seharian mereka dan dimusnahkan begitu sahaja kerana ketiadaan nilai bagi mereka sekiranya unsur-unsur alam itu tidak memberi manfaat kepada mereka... Alam ini juga hanya sumber bahan mentah yang digunakan oleh golongan seperti kapitalis atas tujuan modal untuk menghasilkan produk mereka bagi mendapatkan keuntungan yang lumayan... Bagi mereka yang memegang idea sekular ini, alam ini tidak ada kena mengena dengan unsur perhubungan dengan Tuhan dan tidak mempunyai nilai intrinsik dan kerohanian yang tersembunyi di sebaliknya...
Walaupun begitu, seorang agamawan Kristian yang berpengaruh di Eropah pada zaman pertengahan iaitu Bonaventure of Bagnoregio telah membawakan dan mengangkat kembali konsep dan pandangan terhadap alam kepada Teologi Kristian pada ketika itu yang diambil daripada Al-Quran dalam bahasa Latin... Walau bagaimanapun, beliau tidak mengembangkan ideanya oleh kerana Western Christianity tidaklah cenderung melihat alam ini sebagai subjek perbincangan yang melibatkan dengan akal... Dan ketika itu juga, berlakunya pertelingkahan di antara Gereja dan cendekiawan Barat dari sudut kegunaan akal dan intelektual yang bercanggah dengan amalan Gereja pada masa itu... Hal ini menyebabkan pihak Gereja telah menyekat penggunaan akal melainkan hanya untuk digunakan untuk mempercayai unsur tahyul dan khurafat oleh Gereja...
Pada pandangan alam dan falsafah Islam, alam ini mempunyai hubungkait yang rapat di antara manusia dan Tuhan... Allah swt telah menjadikan alam ini sebagai tanda (ayat) kepada manusia bagi menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah swt... Melalui alam ini, manusia boleh menghubungkan dirinya kepada Allah melalui renungan yang dalam dan mengambil pengajaran daripadanya... Sepertimana di dalam surah Al-Baqarah Ayat 164 menyatakan bahawa :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran."
Alam ini juga mempunyai nilai yang mendalam bukan sahaja dari segi luarannya yang perlu digunakan oleh manusia untuk kehidupan mereka... Malah ia juga mempunyai nilai intrinsik yang membawa manusia untuk berfikir dalam dan mentadabbur isi kandungan alam ini supaya dibawakannya kepada pengabdian kepada Allah...
Maka dengan itu, tanggungjawab manusia yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah (vicegerent) di bumi sepertimana di dalam surah Al-Baqarah Ayat 30 mengatakan :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"."
bagi mentadbir alam ini dengan sebaiknya tanpa ada kezaliman dan ketidakmakmuran terhadap alam ini... Ia perlu memastikan bahawa hubungan manusia terhadap alam (Huqquq al-Alam) terjamin dan harmoni...
Walaupun di dalam Al-Quran terdapat ayat yang menunjukkan "disenchantment of nature"... Namun, "disenchantment of nature" itu tidak sepertimana yang difikirkan oleh pandangan sekular Barat... "Disenchatment of Nature" yang dimaksudkan di dalam Al-Quran ini adalah menjurus kepada menyingkir fahaman-fahaman animisme dan kepercayaan tuhan-tuhan yang mewakili alam ini... Ia bertujuan bagi membawa kepada keesaan Tuhan yang mentadbir alam ini iaitu Allah swt...
*************
SUMBER :
1) Secular-Secularization- Secularism, Islam And Secularism, Syed Muhammad Naquib Al-Attas