![]() |
| Peta Tunis yang merupakan tempat kelahiran Ibn Khaldun. |
Apabila disebutkan mengenai "negara", ia tidak lari daripada dua watak manusia yang berada di dalamnya iaitu "pemerintah" dan "yang diperintah"... lebih khusus lagi adalah "pemerintah" seperti "raja","sultan", "caesar" ataupun "khalifah", manakala "yang diperintah" terdiri daripada golongan rakyat jelata ataupun ahli masyarakat yang bernaung di bawah kekuasaan pemerintah tempatan... Di sini dapatlah kita melihat, terdapat hubungan di antara pemerintah dan rakyat di mana yang diperintah perlu taat dan patuh kepada arahan dan kedaulatan pemerintah dengan syarat pemerintah perlu melindungi mereka daripada ancaman, menegakkan keadilan sosial dan ekonomi dan kebaikan masyarakat...
Ibn Khaldun membuat sebuah perbezaan di antara bentuk-bentuk negara wujud pada zaman hidup dan sebelum beliau... Perbezaan yang beliau lakukan adalah lebih kepada perbezaan matlamat negara tersebut terhadap kedua-dua watak ini...
Secara ringkasnya menurut Ibn Khaldun terdapat tiga bentuk negara iaitu
1) Negara yang bermatlamatkan kebaikan rakyat di dunia dan akhirat.
2) Negara yang bermatlamatkan kebaikan rakyat di dunia.
3) Negara yang bermatlamatkan kebaikan pemerintah di dunia.
Disebabkan no. 2 dan 3 mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu berpaksikan kepada matlamat dunia dan tidak mempunyai matlamat akhirat, maka ia dikecilkan lagi kepada dua jenis matlamat yang umum, iaitu dunia dan akhirat, dan dunia sahaja...
Maka dengan itu dapatlah dibahagikan kepada dua jenis rejim (siyasa') iaitu
1) Rejim Syariah (Siyasa' Shar'iyya)/Rejim Agama (Siyasa' Dinniya)
2) Rejim Akal (Siyasa' 'Aqliyya)
Menyentuh sedikit konsep kedua-dua rejim, Rejim Syariah lebih merujuk pemerintahan yang bematlamatkan kehidupan di dunia dan akhirat, dimana sistem pemerintahan ini lebih berlandaskan wahyu daripada Tuhan... Rejim akal pula merujuk kepada pemerintahan yang bermatlamatkan kebahagiaan di dunia sahaja... Epistemologi bagi jenis pemerintahan ini lebih kepada akal sebagai sumber normatif untuk melaksanakan keadilan sosial terhadap masyarakat... Walau bagaimanapun, rejim akal ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1) Bermatlamatkan kebahagian bersama.
2) Bermatlamatkan kepentingan pemerintah.
*****************
SUMBER :
1) Negara dan Budaya: Sebab Formal dan Material, Ilmu Budaya : Asas Dan Kaedahnya, Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun: Kajian tentang Dasar Falsafah Ilmu Budaya, (Muhsin Mahdi)
